Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang lelaki yang menyerang dua wanita dengan pisau rambo di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya, dua minggu lepas, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh dua wanita terbabit. Foto hiasan Envato

Pekerja sambilan pengiklanan didakwa cuba bunuh dua wanita di surau

ByBernama

PETALING JAYA, 19 Ogos:  Seorang lelaki yang menyerang dua wanita dengan pisau rambo di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya, dua minggu lepas, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh dua wanita terbabit.

Bagaimanapun, pekerja sambilan pengiklanan Mohammad Ferdaus Mashud, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor.

Mohammad Ferdaus didakwa cuba membunuh jurujual telefon bimbit, Nurulain Azhar, 26, dan guru sekolah agama Shaliza Talib, 52, dengan mencederakan kedua-dua mangsa menggunakan objek tajam dengan niat atau pengetahuan yang akan sebabkan kematian dua wanita itu di surau berkenaan di Jalan SS 5A/10 di sini pada 1.30 tengah hari, 9 Ogos lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya K. S. Rinisha Priyya tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.

“Namun, sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan terhadap tertuduh, pendakwaan memohon supaya jaminan ditetapkan RM50,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah,” kata Rinisha Priyya.

Peguam Kailash Sharma yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya mempunyai lima orang anak serta menanggung keluarga.

“Penjamin ialah bekas isteri (tertuduh) dan adiknya. Anak guam saya juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan mohon jaminan ditetapkan pada jumlah yang munasabah,” katanya.

Noor Ruzilawati membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran tempat tinggal, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan kes.

Bernama sebelum ini melaporkan, dua wanita cedera dipercayai diserang seorang lelaki menggunakan pisau rambo di surau terbabit dan akibat serangan itu, seorang mangsa mengalami kecederaan di kepala dan perut, manakala seorang lagi luka pada lengan dan tangan kiri. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan