Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Salah seorang jurufoto yang terlibat sama dalam Pengisytiharan Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 di Padang Sentral, Kuching. Foto Jabatan Muzium Sarawak

Iktiraf pengamal media yang terlibat dalam pembentukan Malaysia 1963

ByAmirah Shawel

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Kejayaan dalam membentuk dan membina sebuah negara bangsa yang berdaulat pada 16 September 1963 lalu tidak hanya sekadar ideologi sahaja, malah pelbagai usaha, pengorbanan diri dan masa telah dipertaruh untuk mencapai titik temu bagi memerdekakan jiwa dan bangsa daripada jajahan kuasa-kuasa asing.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ammar Redza Ahmad Rizal berkata, sinergi di antara pemimpin dan pengamal media pada waktu itu, menjadikan pembentukan Malaysia satu realiti.

“Saya tidak nafikan jasa besar pemimpin seperti Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Temenggung Jugah dan Tun Abang Openg.

“Namun, kita juga harus memberikan penghargaan kepada komuniti media, kerana mereka harus memberikan laporan kepada masyarakat, terutama laporan terus,” katanya ketika ditemui TVS.

Berbekalkan medium komunikasi yang terhad seperti surat khabar, radio dan telegraf, sumbangan para pengamal media ketika itu adalah terlalu berharga buat negara.

CABARAN PENGAMAL MEDIA

Kumpulan wartawan pada ketika itu terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran sulit dalam usaha memastikan rakyat memperoleh maklumat terus dan memahami konsep sebenar gagasan Malaysia.

“Dalam susur garis masa pembentukan Malaysia, ada satu ketika masyarakat terpecah, yang mana kebanyakan mempunyai kesangsian tentang pembentukan.

“Namun, dari masa ke masa dengan lebih banyak pendedahan dan laporan, masyarakat lebih cakna dan memahami isu berkenaan, membolehkan mereka membuat penelitian dan rumusan mereka,” katanya.

Namun, antara ancaman utama ialah menangkis elemen-elemen subversif yang disampaikan melalui akhbar kecil oleh pihak tertentu dengan ideologi politik berbeza.

Jelas beliau, itu menjadi cubaan untuk menganggu-gugat proses penyampaian maklumat, sehingga mengancam nyawa pengamal media.

“Wartawan adalah mata-mata masyarakat, untuk memastikan mereka terganggu daripada konsep penerimaan maklumat, mereka akan ganggu proses penyebaran. Jadi, keselamatan menjadi ancaman buat wartawan.

“Walaupun ada elemen subversif yang disampaikan melalui akhbar yang kecil, apabila akhbar arus perdana lebih konsisten dan capaian lebih meluas, maka ia mampu memberi satu tindak balas, menangkis maklumat dianggap berbentuk propaganda,” katanya.

Para pengamal media juga katanya, dipertanggungjawab untuk bergerak ke kawasan pedalaman bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat maklumat terus.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat terus menghargai jasa para pengamal media terdahulu yang berjaya membuat pelaporan konsisten dalam membentuk sebuah negara bangsa dan menangkis kesangsian.

KENAL PASTI IDENTITI

Dr Ammar memberi saranan kepada Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan kajian bagi mengenal pasti kumpulan pengamal media yang terlibat sama dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

Jelas beliau, buat masa ini catatan sejarah bertulis dan latar belakang wartawan-wartawan ini adalah terhad.

Pada ketika itu, pengamal-pengamal media perlu bergerak dalam kesederhanaan dan ‘low profile’ bagi melindungi diri daripada kumpulan komunis dan subversif.

“Saya sendiri perlu lihat lebih mendalam kerana kebanyakan laporan yang disediakan tidak dinyatakan nama atau tidak mendedahkan nama kerana mereka harus melindungi diri dari aspek keselamatan.

“Kerajaan Persekutuan dan Sarawak perlu melihat kembali sejarah dan dapatkan siapakah kumpulan wartawan ini,” katanya ketika ditemui TVS.

Dr Ammar berkata, inisiatif ini adalah untuk memberikan penghargaan sewajarnya kepada mereka, seperti mana yang dilaksanakan buat perajurit negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol mengakui satu daya usaha perlu dilaksanakan bagi mencari semula identiti pengamal media yang telah menyumbang dalam pembentukan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau akan mengusulkan perkara tersebut kepada barisan kabinet Sarawak.

“Kita akan cuba mencari arkib lama untuk mengenal pasti individu, wartawan veteran ini sebab saya rasa pandangan dan pengalaman mereka dihargai semasa pembentukan Malaysia.

“Saya akan kemukakan cadangan ini kepada kepimpinan atas,” katanya ketika ditemui TVS.

Abdullah juga yakin cadangan itu boleh dikemukakan kepada menteri bertanggungjawab di peringkat persekutuan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan