Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember ini, boleh menjadi contoh yang baik kepada sektor swasta untuk menambah baik gaji pekerja dan perkhidmatan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara. Foto fail Bernama

Pelaksanaan SSPA boleh jadi contoh baik kepada sektor swasta – Hanifah Hajar

ByBernama

JOHOR BAHRU, 16 Ogos: Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember ini, boleh menjadi contoh yang baik kepada sektor swasta untuk menambah baik gaji pekerja dan perkhidmatan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan harus melaksanakan SSPA bukan sahaja untuk meningkatkan gaji, malah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang melaksanakan tugas mereka selama ini.

“Selain itu, kita harus melaksanakan (SSPA) kerana apabila difikirkan, kita juga cuba menggalakkan sektor korporat termasuk perusahaan kecil dan sederhana dalam melaksanakan (menambah baik gaji pekerja). Kita juga perlu memberi contoh yang baik,” katanya kepada pemberita pada Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran UTM, Skudai, di sini hari ini.

Hanifah Hajar berkata demikian ketika mengulas mengenai SSPA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata SSPA dirangka bukan sekadar untuk membawa pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati penjawat awam, tetapi merupakan satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.

Perdana Menteri berkata SSPA juga akan memberi manfaat kepada penjawat awam yang cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, manakala yang gagal akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Selain itu, Anwar turut berharap sektor swasta terutama syarikat yang mencatatkan keuntungan tinggi supaya meneliti semula skim gaji mereka bagi memberikan imbuhan yang lebih munasabah kepada pekerja.

Sementara itu, Hanifah Hajar berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri, kerajaan telah melancarkan pelbagai inisiatif dalam merancakkan Ekonomi MADANI termasuk meneroka sektor ekonomi baharu dan berpotensi.

Beliau berkata ini termasuk memperkasa ekonomi bumiputera serta memfokuskan kepada sektor yang tertumpu kepada pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

Terdahulu, Hanifah Hajar menjadi tetamu khas program audio siar, Jaguh Bumi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan