Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati bekas pemandu lori yang mencekik suami teman wanitanya sehingga maut sebelum mayat lelaki itu ditemukan di dalam parit Kampung Banting, Sabak Bernam, Selangor pada 2014. Foto hiasan Envato

Bunuh suami teman wanita, mahkamah ganti hukuman mati dengan penjara 34 tahun

ByBernama

PUTRAJAYA, 15 Ogos: Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati bekas pemandu lori yang mencekik suami teman wanitanya sehingga maut sebelum mayat lelaki itu ditemukan di dalam parit Kampung Banting, Sabak Bernam, Selangor pada 2014.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Jaafar Ngamil, 50, di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

“Mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 34 tahun yang bermula dari tarikh tangkap pada 26 Jun 2014,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 4 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman mati ke atas Jaafar yang didapati bersalah membunuh Jamingan Hambali, 44, di dalam sebuah kereta di antara Lot 2056, Jalan Surau Ilmiah, Tebuk Haji Omar hingga ke kawasan parit di Jalan Haji Omar, Kampung Banting, Sabak Bernam pada 9.07 malam 22 Jun 2014 hingga 8.30 pagi 23 Jun 2014 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 2017 dan 2019.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad membantah permohonan itu dan memohon agar hukuman gantung dikekalkan atas alasan Jaafar membunuh mangsa, yang juga rakannya.

Peguam Rajit Singh pula memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara minimum 30 tahun kerana tidak mempunyai rekod jenayah dan sudah insaf.

Menurut keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, mangsa yang mengetahui hubungan isterinya dengan tertuduh telah berjumpa rakannya itu untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Saksi pendakwaan ke-10 (SP10) iaitu anak saudara Jaafar memaklumkan mahkamah bahawa pada hari kejadian, tertuduh telah memintanya memandu kereta manakala dia duduk di belakang tempat duduk penumpang hadapan.

SP10 diminta memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran rumah mangsa yang kemudian masuk ke dalam kereta dan duduk di tempat duduk penumpang hadapan.

Dalam perjalanan, SP10 melihat Jaafar serta Jamingan bertengkar dan tertuduh kemudian mencekik mangsa dari belakang.

Keterangan pakar forensik pula mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan tekanan pada leher.

Jaafar dalam pembelaannya mendakwa tindakannya mencekik Jamingan adalah disebabkan oleh provokasi mengejut bagi melindungi SP10 daripada dipukul mangsa selain isu gaji tertangguh yang menjadi punca pertengkaran. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan