Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengurus Pasukan Bola Sepak Lelaki Sabah, Asmey Ruddy. Foto TVS

Bola sepak SUKMA: Sabah tidak gentar bertemu Harimau Selatan

ByNur Suhaida Muliyono

SIBU, 14 Ogos: Meskipun menurunkan majoriti pemain yang kali pertama beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA), pasukan bola sepak lelaki Sabah tidak gentar bertemu kuasa besar, Harimau Selatan pada perlawanan pertama mereka petang ini.

Ketua jurulatihnya Jelius Ating berkata, beliau yakin barisan pemainnya akan memberikan aksi terbaik dalam usaha untuk layak ke peringkat seterusnya.

Tambahnya, kekurangan pendedahan juga tidak menjadi halangan kepada mereka kerana semangat beraksi mewakili Negeri di Bawah Bayu sentiasa berkobar – kobar.

“Apapun untuk kali ini, kita cuba berusaha membantu dengan beri mereka keyakinan dan kami menjadikan SUKMA sebagai satu platform untuk pemain-pemain muda mendapat pendedahan di peringkat yang lebih tinggi kerana sebelum ini mereka lebih banyak bermain di Sabah sahaja,” katanya kepada TVS hari ini.

Jelius menambah, Sabah menjanjikan saingan sengit dalam perlawanan menentang Johor petang ini dengan kehadiran dua pemain yang sebelum ini pernah ‘dilamar’ pasukan kebangsaan iaitu Jenalter Justin selaku penyerang dan penjaga gol Amir Jef Anjam dan Henry Smith Ampuling.

“Kita berharap dengan kehadiran mereka akan membantu pasukan dan kita sebenarnya di Sabah ini juga memiliki bakat yang baik, cuma kurang memiliki program pembangunan bola sepak.

“Kelebihan Johor adalah mereka memiliki pembangunan bola sepak yang baik sehingga banyak bakat dilahirkan,” ujarnya.

Sementara itu mengulas mengenai persiapan pasukan, pengurus pasukan bola sepak Sabah Asmey Ruddy berkata mereka bersedia mental dan fizikal termasuk kecergasan dan pemakanan.

“Kecergasan pemain dalam keadaan baik. Pemakanan mereka juga dipantau oleh jurulatih kecergasan,” katanya.

Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang telah menyediakan hospitaliti terbaik untuk kontinjen-kontinjen yang bertanding.

“(Kami) diberi penginapan di Kingwood Hotel, salah satu hotel terbaik di Sibu. Kurang apa lagi? Kami amat berbesar hati dan berterima kasih khususnya kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana telah menyediakan penginapan dan pengangkutan terbaik,” katanya lagi.

Bagi pertahanan Sabah, Mohammad Haziq Jaffry, 20, yang sudah mula bermain bola sepak sejak berusia 11 tahun berkata, dia mengharapkan kejayaan pada penampilan sulungnya dalam temasya SUKMA.

“Saya berharap kami akan memenangi perlawanan pada petang ini walaupun berhadapan dengan Johor dalam aksi kumpulan B.

“Kami sudah membuat persiapan dari awal. Kami akan berusaha dan bekerja keras untuk perlawanan itu,” jelasnya.

Sepak mula dijadual pada 4 petang ini di Stadium Tun Zaidi menyaksikan Sabah menentang Johor.

Satu lagi perlawanan membabitkan kumpulan A menemukan Negeri Sembilan dan Kelantan akan berlangsung di Stadium Azman Hashim Sibujaya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan