Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Miki ditemui TVS semasa membuat latihan di sebuah Gym di Bintulu hari ini. Foto Fiqri Razak (TVS)

SUKMA: Miki Ghazali mahu ‘jab’ emas Muay Thai untuk Sarawak

BySteward Dawi

BINTULU, 13 Ogos: Kejayaan dilakar oleh Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo dalam Muay Thai di peringkat antarabangsa turut memberi semangat kepada adiknya, Mikail Ghazali Zulfikar.

Atlet yang dikenali sebagai Miki itu berkata, bagi mencapai kejayaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, dia perlu memperbaiki teknik pertarungan dan aspek itu diberi tumpuan ketika latihan.

SUKMA: Berlatih di Bangkok, sertai pertandingan di Koh Samui demi emas untuk Sarawak

Miki yang berusia 15 tahun juga percaya dia memiliki teknik tumbukan dan sepakan padu yang menjadi kelebihan ketika berdepan lawan.

“Jurulatih dan rakan-rakan sepasukan juga banyak membantu persiapan saya pada sesi latihan.

“(Sebenarnya) cabaran yang selalu saya hadapi ialah untuk mengekalkan momentum semasa latihan dan menjaga berat badan yang dikehendaki dalam sukan ini,” katanya kepada TVS selepas latihan di sini hari ini.

Sementara itu Miki berkata seperti atlet lain yang masih bersekolah, dia juga kadang kala terpaksa ‘ponteng’ terutamanya jika terlibat dengan pertandingan.

“Namun kalau pertandingan bertembung dengan minggu peperiksaan, saya akan berhenti sekejap untuk memberi fokus kepada pelajaran dan ulang kaji,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Muay Thai Sarawak, Muhammad Azan Mohd Nadzri berkata, dia sangat yakin semua atlet Muay Thai Sarawak dapat memberikan prestasi yang baik, lebih-lebih lagi Sarawak menjadi tuan rumah penganjuran SUKMA.

“Tahap ketersediaan atlet Muay Thai kita sudah mencapai 100 peratus secara fizikal dan mental serta turut bersedia membuat kejutan di dalam perlawanan.

“Kita juga ada senjata rahsia yang akan dikeluarkan dalam acara Muay Thai tahun ini dan sama-sama kita nantikan,” katanya.

Jelas Muhammad Azan, anak-anak buah jagaannya turut memberi kerjasama, komitmen dan disiplin yang amat tinggi semasa menjalani latihan sama ada di Sarawak mahupun di luar Sarawak.

“Saya berharap pasukan Muay Thai Sarawak dapat memberi saingan sengit kepada pihak lawan dan memberikan prestasi yang terbaik.

“Kita juga tahu pasukan dari negeri lain yang mengambil bahagian di dalam acara Muay Thai mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, skuad Muay Thai Sarawak berjaya merangkul dua pingat emas pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.

Pusingan pertama pertandingan Muay Thai akan bermula pada 15 Ogos ini bertempat di Naim Paragon Streetmall, Bintulu yang akan melibatkan beberapa kategori termasuk Wai Kru (seni) solo lelaki, wanita dan Mai Muay Thai (seni) duo lelaki dan wanita. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan