Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemangku Pengurus Besar Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Herwan Ramelan (kiri) dan Penolong Pengurus Penyelenggaraan Instrumen Sakura Ferroalloy Sdn Bhd, Safi Humayun (kanan). Foto TVS

BeDigital Bootcamp pemangkin kemahiran digital pemain industri

BySalasiah Safian

BINTULU, 13 Ogos: Penglibatan pemain industri dalam program Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) BeDigital Bootcamp merupakan wadah yang bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran digital serta pendedahan industri kepada para peserta program, malah turut memberi manfaat kepada organisasi yang terlibat.

Pemangku Pengurus Besar Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Herwan Ramelan berkata, kerjasama strategik BPHB bersama PETRONAS merupakan satu inisiatif seiring dengan visi organisasi tersebut dalam memangkin perkembangan transformasi digital dan mencapai matlamatnya menjadi pelabuhan teknologi hijau yang terulung di rantau ini.

“Tahun ini merupakan penglibatan kami buat kali kedua, di mana pada tahun atau sesi sebelumnya, program in direka untuk mengalakkan pembelajaran intensif selain pengaplikasian kemahiran digital yang telah memberi banyak kaedah kepada kami. Sesi sumbang saran bersama generasi muda serta para pemain dan pakar industri telah mencetuskan pelbagai idea serta penyelesaian baharu yang dapat disesuaikan dengan industri berkaitan pelabuhan,” katanya.

Menurutnya, program BeDigital Bootcamp itu turut memperkasakan pasukannya dengan kemahiran digital yang lebih baik, selain menguasai penggunaan peralatan serta metodologi digital yang canggih yang secara langsung memacu inisiatif digital BPHB seterusnya meningkatkan kecekapan pengoperasian organisasi tersebut.

Katanya, pendigitalan merupakan kunci kepada kelestarian sesebuah organisasi kerana ia dapat meningkatkan keupayaan daya saing organisasi, selain meningkatkan operasi dan tahap kepuasan pelanggannya.

“Menerusi kolaborasi bersama pemain-pemain industri dalam program ini, kami dapat memanfaatkan kemahiran serta pengetahuan yang kami peroleh menerusi bakat-bakat yang ada di dalam program ini.

“Ini adalah untuk memastikan agar kami kekal sebagai salah satu pemain industri digital unggul dalam mendepani kepesatan pembangunan teknologi digital. Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen kami dalam menyumbang kepada aspirasi perkembangan dan transformasi ekosistem digital negara,” ujarnya lagi.

Tambah Herwan, ada dalam kalangan peserta BeDigital Bootcamp tersebut diserap masuk sebagai kakitangan tetap BPHB dan beliau turut turun padang menilai sendiri prestasi peserta program sebelum ditawarkan peluang pekerjaan tetap.

Selain peserta, BPHB turut memperoleh kesan limpahan perkongsian serta kolaborasi strategik ini dan segala pengetahuan serta ilmu yang diperoleh, diaplikasikan dalam pengoperasian pelabuhan oleh BPHB.

Beliau dalam pada itu turut mengalakkan organisasi lain agar melibatkan diri dalam program PETRONAS BeDigital Bootcamp untuk memacu aspirasi digital negeri dan negara dengan memupuk budaya inovasi dan pembelajaran berterusan.

Perkara tersebut katanya, boleh dicapai menerusi pelaburan dalam program pendidikan digital, menyokong syarikat pemula dan inkubator teknologi serta mengambil bahagian secara aktif dalam perkongsian awam-swasta.

Perkongsian kepakaran dan sumber tersebut jelasnya, akan membantu syarikat terlibat membina infrastruktur digital yang teguh, meningkatkan celik digital dan memacu pembangunan ekonomi.

Sementara itu, bagi Penolong Pengurus Penyelenggaraan Instrumen Sakura Ferroalloy Sdn Bhd Safi Humayun, BeDigital Bootcamp PETRONAS merupakan platform untuk pihaknya mendedahkan bakat terpendam dalam bidang berkaitan di sini.

Sarawak katanya, masih mempunyai ramai bakat-bakat yang belum dicungkil.

Mengakui PETRONAS merupakan sebuah syarikat gergasi di Malaysia, ia menjadi satu peluang keemasan untuk Sakura Ferroalloy menjalinkan kerjasama bersama mereka dalam usaha mengasah bakat-bakat ini.

“Pengalaman menyertai BeDigital Bootcamp PETRONAS sangat bermakna kerana ia membolehkan syarikat seperti kami untuk mencari bakat yang berpotensi dalam bidang ini dan ia amat memeranjatkan kerana terdapat banyak bakat-bakat yang tersembunyi. Jadi ini adalah platform yang sangat baik untuk memilih mereka.

“Seperti yang kita tahu PETRONAS adalah syarikat minyak dan gas gergasi di Malaysia, jadi adalah baik untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka. Ia ibarat seperti situasi menang-menang kepada syarikat dalam bentuk teknologi mahupun tenaga kerja,” katanya.

Senada dengan Safi, Pengurus Sumber Manusia Sakura Ferroalloy Sdn Bhd, Chelsea Kennedy berkata, menyertai BeDigital Bootcamp Cohort Number Seven adalah pengalaman berharga kerana ia memberi peluang kepada sakura untuk berinteraksi secara langsung dengan graduasi muda dan juga menjalinkan rangkaian dalam kalangan syarikat yang turut mengambil bahagian.

“PETRONAS ialah sebuah syarikat dinamik global yang terkenal dengan kehadiran di peringkat antarabangsa, jadi bekerjasama dengan mereka akan memberikan kami pemerolehan bakat yang kompetitif dalam mendapatkan lebih ramai bakat yang berkualiti. Melalui kerjasama ini kami dapat belajar daripada satu sama lain. Kami juga belajar daripada satu sama lain mengenai strategi yang baik dalam pemerolehan bakat di pasaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Chelsea berkata, Sakura Ferroalloy sangat kagum dengan calon yang diperkenalkan dan disenarai pendek untuk pihaknya.

Calon-calon tersebut berjaya menonjolkan kebolehan serta kemahiran mereka dalam bidang ini.

Katanya lagi, melalui usaha kerjasama dengan Petronas, Sakura dapat memanfaatkan sumber, kepakaran mereka dan rangkaian petronas dalam menyokong visinya untuk mencari bakat yang betul dan sesuai dan menjadikan Sakura sebagai salah satu syarikat pilihan.

Sakura juga katanya, akan dapat memanfaatkan akses pencarian bakat yang lebih besar yang mengkhususkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang berkaitan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan