Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Polis menahan 10 individu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penipuan pelaburan ‘Warburg Pincus’ yang mengakibatkan kerugian RM21.9 juta, susulan beberapa serbuan di tujuh negeri pada 30 dan 31 Julai. Foto Bernama

10 individu ditahan disyaki terlibat penipuan pelaburan Warburg Pincus, rugi RM21.9 juta

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Polis menahan 10 individu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penipuan pelaburan ‘Warburg Pincus’ yang mengakibatkan kerugian RM21.9 juta, susulan beberapa serbuan di tujuh negeri pada 30 dan 31 Julai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya menahan lima lelaki dan lima wanita selepas beberapa serbuan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak, setelah 44 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini.

Beliau berkata suspek berusia 21 hingga 52 tahun itu, dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat serta perniagaan dan pengarah syarikat bagi menjalankan kegiatan tersebut.

“Lapan telefon bimbit, satu kad ATM dan salinan dokumen pendaftaran syarikat dirampas.

“Dengan menggunakan nama syarikat pelaburan yang terkemuka dunia iaitu ‘Warburg Pincus’ untuk meyakinkan mangsa, kita percaya mereka telah beroperasi sejak awal tahun ini dan beroperasi sepenuhnya secara dalam talian menggunakan Facebook dan WhatsApp,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata iklan promosi pelaburan dibuat menggunakan sistem algorithma Facebook dengan pulangan setinggi 11 hingga 15 peratus sebulan ditawarkan kepada pelabur.

Beliau berkata sindiket turut menawarkan khidmat ‘cikgu trading’ untuk membimbing pelabur, seterusnya meminta mereka memuat turun aplikasi palsu yang dihantar melalui pautan di WhatsApp.

Ramli berkata kemudian mangsa akan diarahkan untuk memasukkan wang ke akaun keldai atas nama syarikat dan perniagaan, sebelum boleh memulakan pelaburan yang akhirnya mereka tidak dapat membuat sebarang pengeluaran keuntungan selepas itu.

Beliau berkata sebanyak 20 akaun bank milik pelbagai perniagaan dan syarikat telah dikenal pasti disalahgunakan sebagai akaun keldai, untuk menerima wang daripada mangsa terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sehingga kini, siasatan telah berjaya membuat penyitaan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 terhadap 35 akaun bank bernilai lebih RM162,000,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan