Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Beratur lama di bawah panas terik bukan halangan demi mendapatkan tiket perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang diagihkan secara percuma selama dua hari bermula hari ini. Foto TVS

SUKMA 2024 : Demi sokong perasmian, orang ramai sanggup beratur panjang dapatkan tiket

KUCHING, 12 Ogos: Beratur lama di bawah panas terik bukan halangan demi mendapatkan tiket perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang diagihkan secara percuma selama dua hari bermula hari ini.

Seorang peniaga makanan Rafidah Borda, 45, berkata beliau sanggup tidak berniaga pada hari ini semata-mata untuk mendapatkan tiket perasmian SUKMA 2024 kerana mahu memberikan sokongan kepada penganjuran temasya itu di Bumi Kenyalang.

Selain itu, Rafidah yang datang seawal 7 pagi dari Petrajaya di sini dan hanya mendapatkan tiket pada 11.30 pagi tidak kisah beratur lama demi mendapatkan empat keping tiket untuk dirinya selain cucu dan anak saudara.

“SUKMA jarang ada di sini, jadi saya mahu bagi sokongan, kalau tidak bila lagi boleh tengok,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rafidah yang meminati acara badminton juga berkata beliau bangga kerana Sarawak menganjurkan SUKMA 2024 dan berharap atlet dari negeri ini boleh muncul juara.

Bagi Siti Nurbayah Rabu, 40, beliau beratur kira-kira 4 jam untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan perasmian sukan dwitahunan itu bersama suami dan anak-anak.

Lebih istimewa, suri rumah itu juga teruja untuk menyaksikan acara Silambam kerana anaknya juga mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

“Saya sangat teruja untuk melihat SUKMA 2024 ini dan tengok anak beraksi depan mata sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengagihkan sebanyak 7,500 tiket masuk setiap hari bermula hari ini sehingga selesai.

Upacara perasmian temasya SUKMA 2024 pada 17 Ogos ini di Stadium Sarawak akan memaparkan keunikan budaya dan identiti Bumi Kenyalang yang beraneka ragam.

SUKMA Sarawak 2024 akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri serta mempertandingkan 37 jenis sukan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan