Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Istiadat Konvokesyen IKMAS kali ke-20 di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada 12 Ogos 2024. Foto: Awang Azmil (TVS)

Sarawak sebagai wilayah lahir tokoh ilmuan laksana pembangunan seimbang- Tun Wan Junaidi

KUCHING,12 Ogos: Pembangunan jiwa dan rohani rakyat Sarawak merupakan antara elemen penting dalam memastikan pemodenan dan kemajuan wilayah ini bersifat menyeluruh.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini kerana pembangunan yang berfokuskan kepada pemodenan duniawi sahaja akan menghakis dan merosakkan sistem nilai kemanusiaan sesebuah masyarakat.

Jelas beliau, impian sebenar adalah untuk menyaksikan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuan yang  melaksanakan pembangunan fizikal serta tidak meninggalkan pembangunan kerohanian.

“Jika kita melihat dunia barat bahkan sebahagian daripada dunia Arab yang memiliki kemajuan yang dilihat hebat menurut
ukuran ketamadunan moden, namun sistem pembangunan nilai yang ada pada diri mereka itu hancur.

“Pembangunan keilmuan yang menumpu pada kemodenan tidak dapat diterima kerana sistem nilai yang membawa kepada sifat kemanusiaan itu lebih utama berbanding dengan pembangunan infrastruktur fizikal,” katanya.

Tun Wan Junaidi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Konvokesyen  Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) di sini hari ini.

Turut hadir Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Pada istiadat kali ini, seramai 53 graduan menerima Diploma Pengajian Dakwah Islamiyyah dan 14 orang menerima Sijil Pengajian Islam IKMAS.

Sementara itu Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan budaya ilmu dalam pembetukan masyarakat bertamadun.

Kata beliau, masyarakat yang berbudaya ilmu akan menjadikan ilmu sebagai asas segala kebaikan.

“Ilmu yang dipelajari juga akan melahirkan pekerja yang cekap dan bertanggungjawab di samping menanam sikap untuk memuliakan ilmu dengan cara menuntutnya dan seterusnya menghayatinya seumur hidup. Pendidikan menurut Ibnu Khaldun ialah dapat membantu individu dan masyarakat menuju kemajuan dan kecemerlangan dunia dan akhirat,” katanya.

Berhubung peranan IKMAS, Wan Junaidi berkata sejak ditubuhkan pada 1999 institusi berkenaan berjaya melahirkan seramai 1,552 orang
graduan dengan ada yang mengembangkan potensi dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi iaitu Ijazah Kedoktoran.

“Menuntut ilmu adalah fardhu ke atas setiap umat Islam. Institusi seperti IKMAS yang melahirkan cendekiawan agama merupakan
suatu aset yang terdapat di Sarawak.

“Dalam keadaan zaman yang serba mencabar, kita mengharapkan agar para cendekiawan ini turut membantu membangunkan aset-aset negara iaitu anak-anak generasi yang akan mengambil alih kepimpinan negara suatu hari kelak,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan