Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi berucap pada majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor projek KAM di Kampung Nanga Engkuah di bangunan baru Pejabat Daerah Song hari ini. Foto TVS

Perluas Program Kampung Angkat Madani di Kapit, penduduk dapat manfaat

SONG, 11 Ogos: Program Kampung Angkat Madani (KAM) diharap dapat diperluaskan ke kawasan lain di Kapit, termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram dan Pelagus, kata Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Jelasnya, ini bagi membolehkan kawasan-kawasan lain dapat menikmati pembangunan yang datang hasil daripada pelaksanaan program tersebut.

“Kita akan laksanakan projek yang serupa kalau masih ada tahun depan ataupun tahun-tahun mendatang di kawasan-kawasan lain sebab di kawasan Parlimen saya ada tiga kawasan DUN.

“Kali ini di kawasan DUN Katibas di daerah Song ini, kalau ada tahun depan saya akan berunding dengan ADUN Bukit Goram dan Pelagus di mana kita mahu letakkan program ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor projek KAM di Kampung Nanga Engkuah di bangunan baru Pejabat Daerah Song pada Ahad.

Menurut Nanta, Projek KAM di Kampung Nanga Engkuah yang menelan kos RM4 juta melibatkan penggantian jambatan lama, pembinaan laluan pejalan kaki, serta pemasangan 100 lampu jalan berkuasa solar di tiga buah rumah panjang yang menempatkan lebih 600 penduduk.

Nanta menegaskan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, khususnya JKR Kapit, akan memantau pelaksanaan projek-projek ini dengan rapi untuk memastikan keberkesanan dan kelancaran pembangunan tersebut.

Beliau juga percaya bahawa inisiatif ini akan memberi impak positif jangka panjang kepada kehidupan penduduk luar bandar dengan peningkatan infrastruktur yang memudahkan kehidupan harian mereka.

Nanta menggariskan bahawa program tersebut merupakan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diselia oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui pembangunan infrastruktur asas.

Perkampungan Nanga Engkuah adalah perkampungan tiga buah rumah panjang di kawasan pedalaman terletak lebih kurang 50 kilometer dari Pekan Song dan hanya boleh diakses melalui jalan sungai yang mengambil masa tiga jam.

Rumah panjang di kampung tersebut adalah Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong dengan jumlah penduduk seramai 658 orang.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan