Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pegawai keselamatan mengiringi pemenang pingat emas merejam lembing Pakistan di Sukan Olimpik Paris 2024 Arshad Nadeem sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Allama Iqbal di Lahore pada 11 Ogos 2024. Foto, AFP.

Penduduk kampung berpesta saksikan Nadeem menang emas Olimpik untuk Pakistan

ByAFP

MIAN CHANNU, PAKISTAN, 11 Ogos: Puluhan penduduk kampung berkumpul di hadapan rumah atlet rejam lembing Pakistan, Arshad Nadeem untuk menyaksikan dia bertanding dalam perlawanan akhir Sukan Olimpik Khamis lepas.

Acara itu disiarkan secara langsung menerusi skrin projektor digital yang tergantung di belakang trak di kampung pertanian itu yang terletak berhampiran bandar kecil Mian Channu di wilayah Punjab.

Ketika lembing melayang di Paris untuk mencatatkan rekod baharu Olimpik dan memberikan pingat emas untuk Nadeem, beribu-ribu kilometer jauhnya sorakan penduduk kampung bergema hingga lewat malam.

“Dia melakukan lontaran hebat dan mencipta sejarah. Kami berbangga dengannya,” kata abang Nadeem, Muhammad Azeem, 35.

Kumpulan lelaki dilihat menari mengikut rentak gendang dan yang lain bertepuk tangan dan melaungkan slogan apabila kemenangan Nadeem disahkan.

Golongan wanita pula duduk beramai-ramai mengelilingi televisyen kecil di dalam rumah Nadeem.

“Dia telah berjanji kepada saya bahawa dia akan bermain dengan baik, pergi ke luar negara, memenangi pingat dan membanggakan Pakistan,” kata ibunya, Raziah Parveen.

Walaupun berlatih dengan peralatan usang dan serta sukar mendapat akses ke gim berbanding pesaingnya, Nadeem berjaya memberikan Pakistan pingat emas Olimpik pertama dalam tempoh 32 tahun.

“Dia milik Mian Channu. Dia berasal dari sebuah kampung kecil dan menaikkan bendera Pakistan di peringkat antarabangsa,” kata bekas jurulatih Nadeem, Rasheed Ahmed, individu pertama yang mengesan bakatnya.

Anak kepada seorang pesara pekerja binaan, Nadeem, 27, merupakan anak ketiga daripada lapan beradik.

Seperti majoriti rakyat Pakistan yang lain, atlet berkenaan pada mulanya lebih berminat dengan kriket.

“Saya membuat Arshad bertukar daripada bermain kriket kepada merejam lembing. Pada masa itu, tiada siapa yang tahu mengenai sukan itu,” kata seorang lagi abangnya, Shahid Nadeem.

“Dia membawa kayu itu ke Sukan Olimpik, mencipta rekod baharu dan memenangi emas,” katanya kepada AFP ketika keluarga itu meraikan kemenangan.

Seorang pesara pegawai sukan tempatan Parvaiz Ahmed Dogar memberitahu AFP tentang kesukaran yang dihadapi dalam usaha mendapatkan latihan profesional untuk Nadeem.

Pakistan tidak mempunyai padang yang sesuai untuk acara trek dan padang sehingga menyebabkan atlet perlu berlatih di padang kriket.

Pada Mac Nadeem mendedahkan dia hanya memiliki satu lembing yang telah digunakan sejak tujuh tahun lalu malah telah rosak.

Bercakap kepada media selepas kemenangannya, Nadeem berkata semua perjuangannya berbaloi.

“Apabila saya merejam lembing, saya merasakan ia terlepas dari tangan saya (namun yakin) ia boleh menjadi rekod Olimpik,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan