Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang. Foto fail AFP

Paris 2024: Perjuangan Azizulhasni berakhir duka

ByBernama

PARIS, 11 Ogos: Episod hitam apabila penyertaan acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dibatalkan menggambarkan suasana perit  dan terkejut yang dilalui jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang di bumi Paris.

Sandaran terakhir kontinjen Malaysia untuk meraih pingat emas pertama Olimpik itu terpaksa membayar harga yang cukup mahal apabil tersingkir awal susulan tindakan Azizulhasni melintas derny (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek semasa saringan satu pusingan pertama.

Harapan  Azizulhasi dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu untuk merangkul pingat emas pertama negara pada penampilan kelima di pentas Olimpik sejak edisi Beijing 2008 terkubur di Veldrom Saint-Quentin-en-Yvelines di sini.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley terkejut dengan insiden menimpa anak buahnya itu berkata peraturan adalah jelas dan tiada ruang untuk membuat rayuan.

“Kami telah mencuba segala-galanya, seperti pelumba Perancis (Rayan Helal) juga melakukannya um… Tapi anda tahu, seperti mencuba ini? Motosikal itu tidak bergerak secepat yang sepatutnya, ia masih pada kelajuan 45km/j, bukannya 50km/j, tetapi peraturan tetap peraturan, anda tidak boleh memintas derny.

“Ya, kami telah melakukan kesilapan, itu salah kami, kami tidak boleh menebus dan kami membayar harga yang besar untuk itu. Dia masih dalam kejutan ketika ini, dia belum berkata apa-apa, dia masih tidak percaya.

“Ini sudah berlaku dan kita perlu teruskan ke hadapan dan perkara yang paling sukar sekarang ialah berhadapan dengan kamu semua (media),” katanya.

Beasley juga kecewa kerana kejadian sebegini berlaku pada Sukan Olimpik terakhir bagi Azizulhasni, yang mungkin juga merupakan perlumbaan terakhirnya untuk Malaysia.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Negara (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan berkata rayuan terhadap pembatalan penyertaan Azizulhasni telah dinafikan.

“Ketua Komisar dan wakil UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Azizulhasni akibat memintas derny yang menentukan rentak di hadapan kelompok pelumba sebelum derny keluar daripada gelanggang perlumbaan.

“Kontinjen Malaysia dengan berat hati menerima keputusan ini dan akan memberi sokongan moral tidak berbelah bagi kepada beliau. Pada masa yang sama pihak Institut Sukan Negara (ISN), juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada Azizulhasni dalam berdepan dengan situasi yang sukar ini,” katanya.

Jaguh negara berusia 36 tahun itu merupakan atlet berbasikal trek paling berjaya di Malaysia setelah memenangi gelaran juara dunia acara keirin pada 2017 serta dua pingat Olimpik iaitu gangsa di edisi Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) Datuk Amarjit Singh berkata apa yang berlaku adalah kesilapan teknikal yang hanya boleh dijelaskan oleh Azizulhasni.

“ Adalah jelas sebahagian daripada basikal itu telah melalui motosikal itu sebelum derny meninggalkan trek, itu adalah sesuatu yang anda tidak boleh lakukan. Tiada pelumba yang mahu meninggalkan perlumbaan dengan cara ini dan lebih-lebih lagi Azizulhasni, yang telah mempersiapkan dirinya untuk Sukan Olimpik terakhirnya.

“ Dia berada dalam keadaan yang sangat baik, saya yakin dia adalah salah satu pencabar pingat kali ini. Dia dalam keadaan terkejut, cuba untuk memahami apa yang telah berlaku, saya rasa ia akan mengambil masa untuk dia benar-benar menyedari apa yang telah berlaku,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan