Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian bersama tetamu kehormat memotong kek sebagai simbolik perasmian Festival of Light. Foto Muqri Aziz (TVS)

Dr. Sim mahu institusi keagamaan promosi amalan lestari, tangani perubahan iklim

ByMuqri Aziz

KUCHING, 10 Ogos: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian menyeru institusi-institusi keagamaan di Sarawak untuk terus memainkan peranan mereka secara aktif dalam meningkatkan kesedaran dan seterusnya mempromosikan amalan lestari.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu turut menggesa tindakan kolektif perlu diambil untuk menjaga alam sekitar bagi generasi akan datang.

“Kenapa anda perlu memainkan peranan anda? Kerana sama ada suka atau tidak, perubahan iklim yang sedang berlaku ini adalah sesuatu yang nyata di mana kita mengalami cuaca panas yang sangat terik dan tahun ini sahaja semasa musim haji, lebih 1,000 jemaah haji meninggal dunia akibat strok haba kerana suhu telah mencecah 50 darjah celcius.

“Sehubungan itu, institusi keagamaan di Sarawak seperti International Society for Krishna Consciousness (ISKCON) Kuching masing-masing perlu memainkan peranan kerana jika tidak, umat manusia akan mati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival India: Sri Jagannath Ratha Yatra Tahunan Ke-15 di Dewan Serbaguna Hare Krishna, Batu Kawa di sini, malam ini.

Turut hadir sama, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Dato Georgina Apphia Ngau dan Pengerusi ISKCON Kuching, Kripa Sindhu Krishna Das @ Prabhu.

Bukan itu sahaja, beliau turut menekankan peranan penting yang dimainkan oleh institusi agama dalam membentuk masa depan wilayah ini di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan tiga tonggak utama menjadi keutamaan adalah kemakmuran, keterangkuman, dan kelestarian alam sekitar.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua komuniti untuk terus memainkan peranan mereka bagi memastikan Sarawak menuju masa depan yang makmur, inklusif, dan lestari.

Dalam pada itu, Georgina menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak bagi menyediakan sokongan kewangan bagi penyelenggaraan dan pembangunan ruang ibadat kepada komuniti Hindu di wilayah ini.

“Sejak 2017, Kerajaan Sarawak melalui UNIFOR telah menyalurkan lebih RM350 juta untuk tujuan tersebut dan RM1.76 juta melibatkan 12 projek telah diluluskan untuk komuniti Hindu dari tahun 2017 hingga 2024.

“Oleh itu, UNIFOR amat mengalu-alukan komuniti Hindu untuk mengemukakan permohonan anda untuk geran seterusnya pada tahun 2024,” kata Georgina sambil menambah ia bagi memastikan sokongan berterusan terhadap usaha keagamaan mereka di wilayah ini.

Kongsi beliau, pihaknya telah mengadakan lawatan ke dua kuil di bandar ini iaitu Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman dan Kuil Sri Maha Mariamman yang bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam keperluan komuniti Hindu serta meneroka cara untuk meningkatkan sokongan terhadap aktiviti keagamaan dan ruang ibadat mereka.

Hasil daripada lawatan tersebut, beliau menegaskan komitmen UNIFOR untuk terus menjalinkan kerjasama dengan komuniti Hindu bagi membangunkan lagi rumah-rumah ibadat mereka serta meningkatkan usaha sokongan komuniti pada masa hadapan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan