Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bertrand Rhodict Lises berkata dia tidak dapat melakukan terjunan dengan baik kerana tekanan. Foto AFP

‘Saya tidak dapat fokus dan beraksi dengan baik’ – Bertrand

ByBernama

PARIS, 9 Ogos: Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises menamatkan penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini.

Atlet berusia 19 tahun itu menamatkan pusingan awal acara 10 meter (m) platform individu lelaki di tempat ke-25 dalam kalangan 26 peserta dengan 313.70 mata keseluruhan di Pusat Akuatik Olimpik.

Ini bermakna kempen Olimpiknya berakhir lebih awal kerana hanya 18 penerjun terbaik selepas enam terjunan mara ke separuh akhir yang dijadualkan esok.

Bertrand yang merupakan pembawa bendera negara dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai lepas bersama pelayar Nur Shazrin Mohd Latif masih jauh daripada mencabar penerjun terbaik dunia.

Pada pusingan hari ini, Bertrand bermula agak baik dengan melakukan 66.00 dan 60.80 mata dalam dua terjunan pertama untuk berada di landasan melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, prestasinya semakin merosot apabila dia hanya mampu mendapat 49.50, 34.00 dan 37.80 mata dalam tiga terjunan seterusnya untuk tergelincir daripada kedudukan 18 teratas dan kebangkitan lewat dengan 65.60 mata pada terjunan terakhir tidak membawa sebarang perbezaan kepada kedudukan.

Cao Yuan dari China mempamerkan penguasaan dalam percubaan mempertahankan pingat emasnya, mengungguli pusingan awal dengan 500.15 mata, diikuti oleh Rikuto Tamai dari Jepun (497.15) dan Rylan Wiens dari Kanada (485.25) untuk melengkapkan tiga teratas.

Bercakap kepada Bernama selepas acara itu, Bertrand berkata dia tidak dapat melaksanakan terjunannya dengan baik kerana tekanan.

“Boleh dikatakan ia bukan persembahan terbaik saya dan bukan juga yang terburuk, tetapi berada di peringkat ini, saya rasa seperti tidak berjaya. Tekanan mengganggu saya (semasa pertandingan).

“Saya tidak dapat fokus dan beraksi dengan baik, jadi ini penghujung Sukan Olimpik saya…Saya tidak boleh bercakap banyak kerana ia merupakan terjunan baharu, perkara baharu bagi saya, kemudian dengan tekanan, saya tidak dapat melaksanakannya dengan baik.

“Sudah pasti saya akan bangkit dengan lebih bertenaga untuk kejohanan seterusnya. Ini hanya permulaan, mudah-mudahan saya dapat memberikan persembahan lebih baik pada pertandingan akan datang,” katanya sambil menahan air mata.

Bertrand yang menggondol gangsa Sukan Asia Hangzhou dalam acara 10m platform seirama bersama Enrique Maccartney Harold berkata dia akan meluangkan sedikit masa bersama keluarga di Sarawak untuk memulihkan semula minda dan badannya selepas menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lepas.

Tiada penerjun Malaysia yang pernah mara ke separuh akhir acara 10m platform lelaki dalam Sukan Olimpik. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan