Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, YDH CP Dato Mancha Ata semasa sidang media. Foto TVS

PDRM bersedia sepenuhnya hadapi SUKMA

MIRI, 9 Ogos: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak bersedia sepenuhnya untuk memastikan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 berjalan lancar dan teratur tanpa sebarang gangguan ketenteraman awam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata seramai 2,678 anggota PDRM terlibat selain petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“PDRM Kontinjen Sarawak bersedia sepenuhnya dalam menjalankan tugas kawalan keselamatan dan ketenteraman sepanjang temasya SUKMA berlangsung dengan mengatur gerak seramai 2,678 pegawai dan anggota petugas di lapangan melibatkan semua elemen PDRM.

“Ini termasuk bantuan seramai 886 petugas RELA dan 25 petugas JPJ dengan menumpukan penugasan kawalan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Akhbar Sempena Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada Jumaat.

Mancha berkata PDRM juga akan memantau segala bentuk bantuan kawalan keselamatan, ketenteraman orang kenamaan, jurulatih, atlet dan orang ramai di lokasi sukan dan majlis selain tapak parkir serta lalu lintas.

SUKMA tahun ini menghimpunkan 12,619 pegawai dan atlet sukan melibatkan 15 kontinjen termasuk Brunei Darussalam yang berlangsung di 45 lokasi pertandingan sukan dan lima perkampungan sukan.

Majlis pembukaan akan diadakan pada 17 Ogos jam 8 malam di Stadium Sarawak Petra Jaya dan penutupan pada 24 Ogos waktu yang sama di Stadium Perpaduan Petra Jaya.

PDRM Sarawak turut menasihati orang ramai yang menghadiri majlis perasmian dan penutupan untuk sentiasa mematuhi arahan pegawai bertugas bagi menjaga ketenteraman serta kelancaran sepanjang kejohanan dijalankan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan