Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri MYSED Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada sesi bergambar. Foto TVS

Sarawak peruntuk RM386.1 juta untuk bangunkan PKS

MIRI, 6 Ogos: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM386.1 juta kepada Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) untuk membantu usahawan tempatan dalam pelbagai aspek, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) telah menyediakan pelbagai program pembangunan termasuk dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan.

“Di bawah RMK-12, Kerajaan Sarawak melalui MINTRED Sarawak, telah memperuntukkan siling kira-kira RM386.1 juta untuk membantu PKS dari pelbagai aspek. Contohnya, program pembangunan usahawan, bantuan kewangan dan infrastruktur seperti Anjung Usahawan dan taman perindustrian. Kementerian saya juga akan terus melaksanakan program pembangunan usahawan dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat pada Majlis Makan Malam Serta Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Perwakilan Tahunan (MPPT) Ke-23 di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Antara program yang dijalankan seperti Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan Promosi Produk melalui ekspo dan media massa.

MINTRED juga menyediakan bantuan berbentuk geran kewangan melalui program Business Empowerment and Recovery Fund (BizFund) kepada persatuan perniagaan di Sarawak untuk melaksanakan program pembangunan kapasiti atau program penambahbaikan Perniagaan.

Setakat ini, sejumlah RM14.6 juta telah diluluskan untuk pelaksanaan lebih 150 program dengan RM4.6 juta yang telah diluluskan kepada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS).

Kerajaan Sarawak akan terus komited memberi bantuan kepada komuniti usahawan kerana golongan ini memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menambah pendapatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Untuk rekod, terdapat lebih kurang 89,000 PMKS berdaftar di Sarawak dengan 81 peratus merupakan perusahaan mikro, 15.5 peratus merupakan perusahaan kecil dan 2 peratus merupakan perusahaan sederhana. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan