Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang. Foto fail TVS

Belanjawan 2025: KPN rangka lima inisiatif berjumlah RM290 juta

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

PUTRAJAYA, 6 Ogos: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah merangka lima keutamaan menerusi Inisiatif Bajet yang bernilai RM290 juta untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) dalam Belanjawan 2025.

Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, lima keutamaan tersebut adalah Program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian, Kesejahteraan Komuniti, Pendigitalan dan Teknologi, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan serta Penambahbaikan Infrastruktur Perpaduan.

“Di bawah inisiatif Program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian, ia akan melibatkan pelaksanaan agenda perpaduan nasional, integrasi serta keharmonian.

“Di bawah inisiatif Kesejahteraan Komuniti, peranan Kawasan Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela, Mediator Komuniti, Tabika dan Taska Perpaduan akan diperkasakan sebagai penggerak utama dan penghubung dalam komuniti,” katanya semasa berucap merasmikan sesi libat urus Belanjawan 2025 yang selaras dengan tema ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ di sini hari ini.

Aaron berkata, di bawah inisiatif Pendigitalan dan Teknologi, tumpuan akan diberikan kepada usaha pendigitalan bahan-bahan khazanah warisan negara manakala inisiatif Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan bertujuan melestarikan perpaduan melalui pemeliharaan serta pemuliharaan warisan negara.

Untuk inisiatif Penambahbaikan Infrastruktur Perpaduan, beliau berkata, premis-premis perpaduan yang menyediakan perkhidmatan kepada orang awam, terutama dalam skop pembaikan dan penyelenggaraan bangunan agensi-agensi di bawah KPN, akan diberi tumpuan.

“MoF harus mempertimbangkan permohonan peruntukan oleh KPN kerana Rancangan Malaysia ke-12 (RM Ke-12) menyasarkan Indeks Perpaduan Nasional sebanyak 0.7 peratus menjelang 2025. Pelaksanaan pelbagai program amat penting bagi mewujudkan tapak integrasi yang mampu meningkatkan interaksi antara rakyat pelbagai bangsa dan agama.

“Saya berharap agar MoF dapat memberikan keutamaan terhadap input Belanjawan 2025 daripada kementerian ini untuk memastikan semangat patriotisme dan kenegaraan dalam kalangan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.

Mengenai sesi libat urus hari ini, Aaron berkata, ia merupakan platform bagi semua pihak untuk mengemukakan cadangan, pandangan dan idea dalam usaha mengukuh dan memperkasakan agenda perpaduan dalam negara.

“KPN akan mengumpulkan semua cadangan ini dan seterusnya mengemukakan kepada MoF untuk disemak, diteliti dan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025,” katanya.

Beliau menegaskan input Belanjawan 2025 penting untuk memastikan kerajaan dapat melaksanakan agenda meraikan kepelbagaian, mempromosikan kebersamaan, mewujudkan peluang pertukaran budaya dan warisan serta menyebarluaskan prinsip asas integrasi nasional.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober nanti. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan