Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang wanita warga emas kerugian RM6,000 selepas rantai leher dipakainya lesap, dipercayai dibawa lari seorang lelaki tidak dikenali ketika mengambil ubat di sebuah klinik kesihatan di sini, semalam. Foto hiasan Envato

Warga emas rugi RM6,000, rantai leher dibawa lari seorang lelaki di klinik kesihatan

ByBernama

ALOR SETAR, 5 Ogos: Seorang wanita warga emas kerugian RM6,000 selepas rantai leher dipakainya lesap, dipercayai dibawa lari seorang lelaki tidak dikenali ketika mengambil ubat di sebuah klinik kesihatan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata wanita berusia 60 tahun itu telah dihampiri suspek pada kira-kira 8 pagi yang menawarkan rawatan tradisional, namun mangsa menolak pelawaan tersebut.

“Setelah selesai berurusan di klinik tersebut, mangsa mendapati rantai leher emas yang dipakai telah tiada dan mengesyaki telah dibawa lari oleh suspek.

“Ini kerana sebelum itu suspek dikatakan menegur rantai leher mangsa kelihatan longgar, dan kemudian bertindak memegang rantai mangsa seolah mengetatkannya. Akibat kejadian ini, pengadu mengalami kerugian anggaran RM6,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada kira-kira 12.20 tengah hari semalam di Balai Polis Alor Setar.

Siti Nor Salawati berkata polis kini sedang giat mengesan suspek, seorang lelaki berbangsa Cina dengan ketinggian kira-kira 160 sentimeter dan berusia sekitar 60-an.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek, boleh tampil memberi maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 04-7747222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan