Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya bangkit dari ambang kekalahan untuk mempertahankan pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini. Foto AFP

Paris 2024: Aaron-Wooi Yik bangkit dari ambang kekalahan untuk pertahan gangsa

ByBernama

PARIS, 4 Ogos: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya bangkit dari ambang kekalahan untuk mempertahankan pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Pada aksi penentuan gangsa yang penuh dramatik di Porte de La Chapelle Arena, mereka mengatasi Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19 untuk mengekalkan status mereka selaku penyandang gangsa.

Terdahulu, juara dunia 2022 itu bermula sedikit goyah apabila melakukan banyak kesilapan mudah yang mengakibatkan mereka tewas di set pertama.

Beregu di ranking ketiga dunia itu kemudian bangkit dari ketinggalan 16-20 untuk menyamakan kedudukan 20-20, sebelum menang 22-20 sekali gus menghidupkan kembali peluang meraih gangsa pada set penentuan.

Pada set ketiga, Aaron-Wooi Yik yang menghadapi tentangan sengit berjaya mengatasi beregu nombor dua dunia itu pada set ketiga untuk mengekalkan pingat gangsa dimenangi mereka pada edisi lepas.

Di Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk membawa pulang pingat gangsa.

Aaron-Wooi Yik terlepas peluang untuk menukar warna pingat ke emas atau perak, selepas tewas 19-21, 21-15, 17-21 kepada beregu utama dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam pertarungan separuh akhir yang sengit pada Jumaat.

Malaysia sebelum ini pernah meraih pingat sebanyak empat kali dalam acara beregu lelaki di Olimpik sejak badminton diperkenalkan pada Barcelona 1992.

Gandingan Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek menghadiahkan pingat pertama Malaysia di pentas Olimpik pada edisi pertama, iaitu gangsa, diikuti kejayaan perak Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock di Atlanta 1996 dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong di Rio 2016, selain gangsa Aaron-Wooi Yik di Tokyo 2020. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan