Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Satu video tular di media sosial memaparkan kejadian beberapa wanita bergaduh bagi mendapatkan kotak tempat letak kereta berdekatan sebuah pasar raya di sini pada 29 Julai lalu. Foto media sosial

Berebut petak parkir, dua wanita ditahan polis

KEPALA BATAS, 2 Ogos: Gara-gara bergaduh kerana berebut petak parkir bagi meletakkan kereta di sebuah pasar raya di sini, dua wanita yang dipercayai terlibat ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menahan suspek warga tempatan berusia 25 dan 38 tahun itu bersama barang kes bagi membantu siasatan.

Katanya, polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang wanita pada 29 Julai lalu berkenaan satu kejadian pergaduhan.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di Kepala Batas.

“Punca kejadian adalah disebabkan perasaan tidak berpuas hati dengan perebutan tempat parkir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anuar, pihak polis seterusnya menerima satu lagi laporan pada 30 Julai daripada seorang wanita berhubung satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergaduhan sebelum membuat penahanan kedua-dua suspek.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.

Kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian mewujudkan apa-apa komen dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya atau mengugut atau mengganggu orang lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau tampil ke balai polis bagi membantu siasatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan