Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berucap pada sesi ramah mesra bersama rakan media di SME CORP Malaysia pada Rabu. Foto TVS

Terap ESG, giatkan aktiviti usahawan bagi perkasa PMKS

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal menerapkan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaan serta menggiatkan aktiviti keusahawanan di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memperkasa sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Ini termasuk menggalakkan penyertaan dalam rantaian bekalan domestik dan global, meningkatkan kapasiti antarabangsa serta menyediakan peluang pembiayaan inklusif.” katanya.

Menurutnya, PMKS mencatatkan pertumbuhan signifikan pada tahun 2023 dalam aspek utama ekonomi seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), eksport, pekerjaan dan produktiviti.

Tambahnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PMKS mencatatkan pertumbuhan lima peratus tahun lepas berbanding 12.3 peratus pada 2022 dan menyumbang sebanyak RM613.1 bilion kepada ekonomi Malaysia.

“Pertumbuhan PMKS didorong sektor perkhidmatan termasuk pengangkutan dan penyimpanan serta subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

Ewon berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa oleh China awal tahun 2023 turut memberi impak positif melalui peningkatan perbelanjaan pelancongan.

“Walaupun pertumbuhan ekonomi keseluruhan hanya meningkat 3.6 peratus tahun lepas, PMKS menunjukkan prestasi lebih baik dengan sumbangan meningkat daripada 38.6 peratus pada 2022 kepada 39.1 peratus pada 2023. Ini menekankan peranan penting PMKS dalam kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Dalam sektor eksport, PMKS mencapai nilai RM152.2 bilion pada tahun tersebut dengan pertumbuhan 4.5%, berbanding 17.2% pada 2022.

“Sumbangan eksport PMKS meningkat daripada 10.6 peratus pada 2022 kepada 12.2 peratus pada 2023 didorong pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan dan pertanian.

“Sebaliknya firma bukan PMKS mengalami penguncupan 11.0% pada tahun 2023, selepas pertumbuhan 27.2 peratus pada tahun sebelumnya,” jelasnya.

Sementara itu menurutnya, ekonomi negara menghadapi kemerosotan eksport disebabkan permintaan global yang perlahan, harga komoditi rendah, ketidaktentuan geopolitik, inflasi tinggi, dan penurunan dalam sektor semikonduktor.

Jelasnya, dalam pasaran pekerjaan, PMKS menggaji 7.86 juta pekerja pada 2023, meningkat 3.5 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini menyumbang kepada kenaikan guna tenaga keseluruhan kepada 48.5 peratus pada 2023 berbanding 48.2 peratus pada 2022.

“Produktiviti pekerja PMKS turut meningkat dengan nilai ditambah sebenar setiap pekerja meningkat kepada RM78,035,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, pertumbuhan PMKS dijangka diperkukuh selaras dengan Pelan Strategik Perniagaan (BSP) mereka.

‘SME Corp. Malaysia juga dilantik sebagai Sekretariat Tetap Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekretariat ini akan bersidang setiap bulan untuk membincangkan dan menangani isu berkaitan pelaksanaan program PMKS dan keusahawanan,” kata Ewon.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad, Pengerusi SME Corp. Malaysia Tan Sri Datuk Seri Bernard Dompok dan Ketua Perangkawan DOSM Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan