Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala Foto TVS

Segera laksana projek jajaran dari Long Banga ke Bario dan Ba’kelalan – Gerawat

MIRI, 1 Ogos: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dimohon untuk menyegerakan pembinaan jajaran dari Long Banga ke Bario dan dari Bario ke Ba’kelalan berikutan kemudahan jalan raya amat diperlukan di sepanjang sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata jajaran terbabit bakal memudahkan aksesibiliti antara kampung setempat sekali gus membuka peluang ekonomi dari segi pertanian dan pelancongan di Bario.

“Harapan saya adalah agar jalan yang dicadangkan dari Long Banga ke Bario dan Bakelalan dapat dilaksanakan secepat mungkin. Kawasan tersebut sangat memerlukan jalan ini untuk memudahkan perhubungan kampung-kampung yang terpencil di pedalaman.

“Selain itu, pembinaan jalan ini juga dapat membuka peluang ekonomi dalam bidang pertanian, pelancongan, dan sektor-sektor lain yang berkaitan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu berkata demikian ketika sesi libat urus RECODA bersama pemegang taruh untuk pembangunan projek sempadan Sarawak pada Khamis.

Sementara itu, RECODA memberi jaminan projek pembangunan sempadan Sarawak meliputi dari Long Banga ke Bario dan Ba’kelalan, berjalan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datu Ismawi Ismuni berkata komitmen itu menggambarkan pihaknya memandang serius dan menitikberatkan aspek keselamatan di kawasan sempadan wilayah ini.

“Adalah amat penting untuk kita mendapatkan input dan maklum balas berhubung dengan jajaran yang akan dibangunkan kelak supaya semua aspek dapat dinilai dengan teliti.

“Input dan pengetahuan tempatan mengenai situasi di lapangan adalah sangat penting kerana ia bukan sahaja akan meningkatkan jaringan jalan raya dan perhubungan, tetapi juga akan memastikan aspek keselamatan di kawasan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia diberi perhatian serius,” ujarnya.

Bercakap berkenaan sesi libat urus hari ini, Ismawi menyakinkan input dan maklum balas berhubung cadangan jajaran jalan terbabit akan dinilai dan diambil kira dalam semua aspek.

Untuk rekod, RECODA telah diberikan mandat oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan projek tersebut yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Skop projek berkenaan meliputi kerja-kerja awalan seperti ukur tanah, siasatan tanah (SI), kajian EIA, penyediaan reka bentuk, dan pengambilan tanah.

Sesi libat urus tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan Baru Bian. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan