Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sepasang suami isteri terlepas hukuman mati selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan lebih ringan iaitu menyebabkan kematian seorang rakan mereka tanpa niat membunuh. Foto hiasan Envato

Sebabkan kematian rakan: Suami isteri terlepas hukuman mati

ByBernama

PUTRAJAYA, 1 Ogos: Sepasang suami isteri terlepas hukuman mati selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan lebih ringan iaitu menyebabkan kematian seorang rakan mereka tanpa niat membunuh.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal menjatuhi hukuman penjara 18 tahun ke atas kedi golf Abu Bakar Mahamad manakala isterinya, Siti Syariza Ibrahim yang juga seorang suri rumah, dihukum penjara 15 tahun.

Pasangan itu diarah menjalani hukuman penjara mulai tarikh mereka ditangkap iaitu pada 19 Dis 2016.

Harmindar turut mengetepikan hukuman mati yang sebelum ini dijatuhi ke atas mereka.

Turut bersidang Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Abu Bakar, 45, dan Siti Syariza, 31, sebelum ini telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi bagi kesalahan membunuh Md Az’ari Saim.

Hari ini Mahkamah Persekutuan sepatutnya mendengar rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara bersetuju menawarkan pertuduhan pindaan daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat membunuh dengan syarat pasangan itu mengaku bersalah.

Menurut pertuduhan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di reban ayam di sebuah pondok tidak bernombor bersebelahan kolam udang di Kampung Muhibah, Gugusan Adela, Daerah Kota Tinggi, Johor bersama seorang lagi individu yang masih bebas antara 7 pagi hingga 11.30 malam 30 Nov 2016.

Fakta kes mendedahkan bahawa seorang nelayan telah menjumpai mayat yang dalam keadaan berbalut dawai pagar hijau yang tersangkut pada pukatnya. Mayat itu hanya memakai seluar dalam dan stokin.

Menurut fakta kes, Siti Syariza telah menghubungi Md Az’ari dan memancingnya untuk bertemu di Kampung Melayu Majidee atas alasan ingin meraikan hari jadi mangsa sebelum dia dibelasah sehingga mati.

Keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi menunjukkan bahawa mangsa telah dipukul, ditumbuk dan ditendang sebelum ditinggalkan di reban ayam terbabit dengan pergelangan tangan dan kakinya diikat pada dinding.

Mangsa ditemukan oleh seorang rakan Abu Bakar selepas itu pada hari yang sama dan Abu Bakar telah mengarahkan agar mayatnya dibuang ke laut.

Pendakwaan berhujah bahawa motif pembunuhan itu adalah kerana Siti Syariza mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Pasangan itu pada mulanya didakwa bersama-sama empat lagi yang kemudian mengaku bersalah membantu melupuskan mayat mangsa dengan niat menyembunyikan kematian dan mencederakan Md Az’ari.

Mereka dihukum penjara antara 40 bulan hingga empat tahun.

Pada prosiding hari ini, Abu Bakar diwakili peguam G.Subramaniam Nair, Devika Suppiah dan Dhanesh Subramaniam Nair manakala Siti Syariza diwakili peguam Md Hazza Md Khalid. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan