Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah memastikan semua perkhidmatan kerajaan negeri boleh diakses dalam talian dengan mudah dan selamat untuk kemudahan rakyat. foto: UKAS

SDE 2030: Penjawat awam Sarawak 100 peratus celik digital

KUCHING, 1 Ogos: Ketua-ketua jabatan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak diseru memberikan komitmen kepada tiga matlamat penting dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak (SDE) 2030 bagi memacu inisiatif kerajaan digital.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Facebook, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah memastikan semua perkhidmatan kerajaan negeri boleh diakses dalam talian dengan mudah dan selamat untuk kemudahan rakyat.

“Seterusnya, setiap agensi perlu mengutamakan ketersediaan dan perkongsian data awam yang lebih baik untuk kegunaan pekerja dalam menyediakan dasar, perkhidmatan dan program yang lebih terarah kepada perniagaan dan komuniti.

“Selain itu, perkara ketiga yang ditekankan pula adalah untuk memastikan semua transaksi kerajaan dilakukan secara elektronik dan bersepadu, di samping pekerja perlu mahir dalam alatan dan teknologi digital untuk memastikan semua penjawat awam 100 peratus celik digital,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Digital Kerajaan Sarawak 2024 dengan tema ‘Ke Arah 100% Perkhidmatan Kerajaan Dalam Talian: Visi 2030’ anjuran Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam (SCSDU) di sini pada Khamis.

Beliau mengulangi pendirian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sebelum ini pernah menegaskan dalam mandatnya kepada perkhidmatan awam awal tahun ini bahawa pendigitalan adalah suatu keperluan dan bukan pilihan.

Justeru, semua pihak diingatkan untuk terus komited terhadap sasaran yang telah ditetapkan dan mematuhi nilai-nilai SCS, iaitu ‘Sense of Urgency and Ownership’, ‘Result Oriented’, dan ‘Team Spirit’.

“Kejayaan sebenar terletak pada impak progresif yang kita cipta untuk rakyat Sarawak,” tambahnya.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan ‘SCSMobile+’, aplikasi canggih yang dikenali sebagai ‘SCS Super App’ yang direka untuk memperkasa penjawat awam dalam menjalankan tugas secara digital.

Turut hadir Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak, Datu Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ketua-ketua Jabatan kerajaan negeri ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan