Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun, Fumio Kishida. Foto fail Anwar Ibrahim (FB)

Kerjasama berkesan Malaysia-Jepun pacu pertumbuhan ekonomi mampan – PM Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Kerjasama berkesan antara Malaysia dan Jepun merupakan pemacu penting yang mendorong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi mampan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dalam konteks ini, Malaysia menghargai peranan penting yang dimainkan Jepun pada peringkat awal pengindustrian negara menerusi pelaburan berskala besar dan aliran masuk teknologi.

“Ikatan teguh dan berkekalan antara Malaysia dan Jepun terserlah apabila Jepun terus menjadi salah satu rakan dagang terbesar Malaysia, mempamerkan hubungan padu yang telah mengharungi cabaran pandemik global serta ketegangan dan konflik geopolitik,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian menerusi ucap tama pada persidangan bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA)-Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JAMECA) ke-14, di sini, hari ini.

Ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hanafi Sakri.

Anwar berkata dari segi pelaburan, Jepun telah menjadi antara sumber pelaburan asing utama Malaysia dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan sejak era 1980-an.

“Setakat Mac 2024, sebanyak 3,730 projek perkilangan telah diluluskan dengan jumlah pelaburan bernilai RM138.23 bilion, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia dan mineral bukan logam, mencipta sejumlah 482,381 pekerjaan di Malaysia,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata suatu yang menerujakan melihat minat berterusan daripada pelabur Jepun untuk melabur di Malaysia, justeru, beliau berharap hubungan kedua-dua negara akan terus berkembang makmur.

“Perniagaan kita memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, menggalak inovasi dan mewujudkan peluang pekerjaan. Melalui usaha bersepadu mereka, kita dapat memanfaatkan potensi penuh hubungan dua hala kita,” kata beliau.

Anwar berkata ketika Malaysia bersiap sedia menggalas jawatan pengerusi ASEAN tahun depan, terdapat cadangan untuk menggunakan pendekatan inklusif dalam menangani masalah global bersama sambil memperjuangkan keterangkuman dan kesalinghubungan dalam ASEAN, Asia dan seluruh dunia.

“Pada 2022, kita meraikan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Malaysia pada 1982, yang dari semasa ke semasa telah berjaya mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Jepun merentas pelbagai sektor, termasuk ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan.

“Walaupun kemajuan besar telah dicapai, masih terdapat peluang kerjasama yang belum diteroka oleh kedua-dua negara,” kata beliau. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan