Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, terbunuh dalam satu serangan di ibu kota Iran, Tehran bersama seorang pengawal peribadinya, menurut Pengawal Revolusi Iran pada Rabu. Foto AFP

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan di Iran

ByElani Rosllan

TEHRAN (Iran), 31 Julai: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh dalam satu serangan di ibu kota Iran, Tehran bersama seorang pengawal peribadinya, menurut Pengawal Revolusi Iran pada Rabu.

“Kediaman Ismail Haniyeh, ketua pejabat politik, diserang di Tehran susulan itu dia dan salah seorang pengawal peribadinya syahid,” kata kenyataan oleh Kor Pengawal Revolusi di laman web beritanya, Sepah.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi ia disyaki dilakukan tentera Israel, yang berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas selepas serangan kumpulan itu pada 7 Oktober lalu.

Menurut AFP, punca kejadian itu tidak serta-merta dijelaskan namun wakil Iran hanya mengatakan siasatan sedang dilakukan.

Terdahulu, Haniyeh tiba di Tehran pada hari Selasa untuk menghadiri majlis mengangkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian di parlimen.

Haniyeh berkesempatan bertemu dengan Pezeshkian serta pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Upacara angkat sumpah pada Selasa diadakan di tengah-tengah kebimbangan perang antara Israel dan Hizbullah Lubnan susulan serangan roket Sabtu ke atas Dataran Tinggi Golan dari Israel.

Israel menuduh Hizbullah bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan 12 kanak-kanak, tetapi kumpulan Lubnan yang disokong Iran menafikan sebarang penglibatan.

Kemudian pada hari yang sama, Israel menyerang kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut sebagai tindakan balas terhadap serangan Golan, mengatakan ia telah membunuh komander yang bertanggungjawab bagi serangan itu.

Sumber yang rapat dengan Hizbullah berkata Shukr menjadi sasaran namun terselamat daripada serangan Israel.

Iran, yang tidak mengiktiraf Israel dan menganggapnya sebagai musuh ketat, telah berulang kali memberi amaran kepada Israel supaya tidak menyerang Lubnan.

“Rejim Zionis (Israel) akan melakukan kesilapan besar dengan akibat yang berat jika ia menyerang Lubnan,” kata Pezeshkian pada Isnin bersama dihubungi Presiden Perancis Emmanuel Macron, menurut laman web presiden Iran itu.

Ketegangan serantau telah meningkat sejak permulaan perang Israel-Hamas pada Oktober, menarik kumpulan militan yang disokong Iran di Syria, Lubnan, Iraq dan Yaman.

Serangan Hamas 7 Oktober ke atas selatan Israel yang memulakan perang mengakibatkan kematian 1,197 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Militan turut merampas 251 tebusan, 111 daripadanya masih ditahan di Gaza, termasuk 39 yang dikatakan tentera telah mati.

Kempen tentera balas Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 39,400 orang, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas, yang tidak memberikan butiran mengenai kematian orang awam dan militan.

Iran telah menjadikan sokongan terhadap perjuangan Palestin sebagai pusat dasar luarnya sejak revolusi Islam 1979.

Ia telah memuji serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel tetapi menafikan sebarang penglibatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan