Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) menerima Anugerah Kepimpinan Teknologi MBOT daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang (kanan) sambil disaksikan oleh Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir (kiri) pada program Malaysian Board of Technologists (MBOT) Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE) di sini, hari ini. Foto, Bernama.

Sarawak sedang bina masa depan inklusif untuk rakyatnya – Abang Johari

ByAkma Salleh

PUTRAJAYA, 30 Julai: Sarawak sedang membina masa depan yang inklusif untuk rakyatnya menerusi perancangan serta penglibatan wilayah itu dalam ekonomi hijau dan ekonomi digital, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, ini selaras dengan perancangan strategik memanfaatkan teknologi terkini bagi melonjakkan ekonomi, memacu pembangunan lestari dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sarawak bina masa depan inklusif rakyat | TVS

Jelas beliau, Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada infrastruktur digital, teknologi hijau dan penyelesaian inovatif bagi meletakkan wilayah itu sebagai peneraju dalam ekonomi digital dan sektor tenaga hijau.

“Dalam usaha menerajui ekonomi digital, Sarawak telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital 2030 yang akan mengubah Sarawak menjadi sebuah ekonomi yang dipacu secara digital.

“(Bagi menjayakannya) Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.89 bilion untuk meningkatkann infrastruktur dan kemahiran digital di bawah inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN).

“Projek ini bertujuan untuk menyediakan internet kelajuan tinggi dan meningkatkan ketersambungan digital (selain) memastikan semua rakyat terutamanya di luar bandar mendapat manfaat dan peluang digital yang sama (dan) tiada sesiapa yang tertinggal di belakang,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (MBOT ENTICE 2024), di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.

Sempena majlis itu, Abang Johari menerima Anugerah Kepimpinan Teknologi yang diberikan kepada beliau oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) sebagai mengiktiraf sumbangan dalam bidang teknologi dan ekonomi hijau.

Abang Johari diiringi Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Menghuraikan lebih lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak juga memupuk ekosistem teknologi yang dinamik dan mereka telah menubuhkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Digital.

“Menerusi 22 hab inovasi dan disokong oleh kerajaan dan pemain industri (ini berupaya) mempercepatkan pertumbuhan, inovasi dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan serta bermatlamat menjadikan Sarawak sebagai Lembah Silikon.

“(Anda) bayangkan seorang usahawan muda di kampung terpencil boleh terlibat (atau mencipta) teknologi dan pelajar di luar bandar pula mendapat akses pendidikan sama seperti (yang dinikmati oleh rakan mereka) di bandar.

“Inilah masa depan inklusif yang sedang dibina oleh Sarawak,” katanya.

Sementara itu beliau turut memaklumkan Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan pelabuhan baharu di Kuching untuk menghasilkan bahan api hijau bagi sektor perkapalan dan berhasrat menjadikannya sebagai hab serantau.

“Kemudahan Terminal Gas untuk menyokong inisiatif tenaga bersih ini akan meningkatkan pengeluaran dan pengedaran bahan api yang mampan.

“Selain itu, kita juga merancang untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching bagi menyokong industri penerbangan yang semakin berkembang,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan