Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bercakap dalam sidang media selepas menerima Anugerah Kepimpinan Teknologi di Putrajaya hari ini. Foto, Akma Salleh (TVS).

Anugerah Kepimpinan Teknologi untuk rakyat Sarawak – Abang Johari

ByAkma Salleh

PUTRAJAYA, 30 Julai: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Anugerah Kepimpinan Teknologi yang diberikan kepada beliau oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) mempunyai pengertian meluas.

Premier Sarawak itu berkata, anugerah berkenaan yang mengiktiraf sumbangan dalam bidang teknologi adalah untuk rakyat Sarawak.

“Terima kasih kepada MBOT kerana memberikan anugerah ini kepada saya.

“Ini anugerah untuk orang Sarawak, bukan anugerah individu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang sempena Majlis Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (MBOT ENTICE 2024), di sini, hari ini.

Turut mengiringi Abang Johari pada majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

 

Abang Johari terima Anugerah Kepimpinan Teknologi

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, anugerah berkenaan juga merupakan hasil usaha kolektif semua pihak sebelum ini.

“Seperti yang saya katakan sebentar tadi, saya berasa rendah diri atas pengiktirafan oleh MBOT kepada saya, sebenarnya ini adalah usaha kolektif di pihak saya dan juga pasukan saya di Sarawak.

“Anugerah ini bukan hanya untuk saya secara individu, tetapi atas usaha kolektif rakyat Sarawak untuk mengadaptasi dan memahami teknologi baharu yang ada.

“Saya percaya bahawa proses itu mestilah cekap dan didorong oleh kemajuan teknologi terkini. Jadi di pihak kami (Sarawak) apa yang kami lakukan adalah dengan mengenal pasti sumber yang ada dengan menambah nilai kepada sumber tersebut berdasarkan teknologi sedia ada,” katanya.

Sementara itu Presiden MBOT Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, dedikasi, pandangan jauh dan kepimpinan Abang Johari yang luar biasa merupakan antara faktor utama pemilihan beliau untuk menerima anugerah berkenaan.

Kata Siti Hamisah, kepimpinan Abang Johari telah memberi inspirasi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi terutamanya dalam sektor ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

“Setiap kali saya melawat Sarawak, saya ingin terlibat dengan teknologi di sana.

“Mereka di sana (Sarawak) benar-benar telah diilhamkan oleh visi YAB Datuk Patinggi (berkaitan teknologi hijau),” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan