Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof

RM316 juta untuk projek mengatasi banjir pantai di Sarawak

BySalasiah Safian

MIRI, 28 Julai: Sejumlah RM316 juta diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Projek Mengatasi Banjir Pantai Negeri Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia melibatkan 17 lokasi yang bertujuan melindungi kira-kira 45,000 penduduk di pesisir pantai daripada kejadian banjir dan hakisan pantai.

“Penetapan pakej projek mengikut lokasi akan ditentukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sebelum proses perolehan dimulakan dan dijangka mula dilaksanakan pada 2025 yang melibatkan pelaksanaan kerja-kerja perlindungan di persisiran pantai sepanjang 40 kilometer (km),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Lawatan Projek Persekutuan dan Majlis Penyerahan Projek-Projek Siap JPS kepada Kerajaan Sarawak di Lutong di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata projek itu melibatkan 17 lokasi iaitu Kampung Siru Melayu dan Rambungan Stoh di Bahagian Kuching, Pantai Kampung Semarang, Rumah Ek-Rumah Betty, Pantai Kampung Beting Maro dan Pantai Maludam di Bahagian Betong serta Jalan Mukah-Oya (Kampung Judan), Kampung Baru Rajang, Kampung Tekajong dan Sebako-Sedi di Bahagian Mukah.

Ia turut melibatkan kawasan Pantai Sungai Bangat (Bahagian Limbang), Pantai Lutong, Bungai Bekenu, Peliau Bungai, Kampung Kuala Sibuti dan Pantai Bakam (Bahagian Miri), serta satu lokasi projek di Bahagian Samarahan dan Kampung Seberang Sebuyau di Daerah Sebuyau.

Projek ini yang dijangka mula dilaksanakan pada tahun 2025 melibatkan pelaksanaan kerja-kerja perlindungan di pesisir pantai sepanjang 40km.

Fadillah berkata di bawah peruntukan pembangunan hingga Rancangan Boleh Pinda Keempat (RP4) Rancangan Malaysia (RMK12) ke-12, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan 46 projek berkaitan sumber air melibatkan JPS, bekalan air menerusi Bahagian Bekalan Air (BBA) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) untuk dilaksanakan di Sarawak dengan kos keseluruhan RM6 bilion.

Beliau berkata jumlah peruntukan yang diluluskan bagi tempoh pelaksanaan di bawah RP4 RMK12 pada 2024 bagi Sarawak sahaja adalah RM299 juta.

“Pecahan mengikut jabatan adalah JPS sebanyak 21 projek dengan peruntukan RM78 juta secara geran langsung, BBA (13 projek) dengan peruntukan RM140.8 juta secara pinjaman dan JPP (12 projek) dengan peruntukan RM80 juta secara pinjaman,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan