Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Taman Negara Niah, Miri diwartakan sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia. Foto Envato

Taman Negara Niah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia oleh UNESCO 

ByHafeezzur Muzamir

BAU, 27 Julai: Taman Negara Niah, Miri mencipta sejarahnya apabila diwartakan sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia terbaharu oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berita gembira itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh yang mewakili Sarawak dalam mesyuarat yang diadakan di India hari ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto TVS

“Saya terima khabar baik dari India berkenaan mesyuarat oleh UNESCO tentang pemilihan Tapak Warisan Arkeologi Dunia. Sarawak merupakan salah satu yang tercalon yang turut melibatkan negara-negara lain.

“Datuk Len Talif ada di sana (India), beliau maklumkan kepada saya UNESCO sudah mewartakan Niah sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia.

“Ini bermaksud dua tapak telah diwartakan di bawah UNESCO iaitu Mulu dan Niah. Tapak warisan semula jadi di Mulu, dan Tapak Warisan Arkeologi Dunia yang berunsurkan peradaban di Niah,” katanya ketika berucap pada Majlis Gawai Carnival Redeems 2024 (GCR 2024) di Kampung Budaya Bidyuh REEDEMS, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk membawa lebih ramai pelancong ke tapak warisan yang menerima pengiktirafan UNESCO itu.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang untuk bawa pengunjung ke Niah. Kementerian Pengangkutan kita sedang lakukan perbincangan untuk memastikan syarikat penerbangan kita mula beropeasi hujung tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Len Talif berkata pengiktirafan oleh UNESCO menekankan kepentingan global Taman Negara Niah sebagai tapak nilai sejagat yang menakjubkan.

“Ia adalah bukti komitmen kami untuk memelihara dan melindungi warisan semula jadi serta budaya kita untuk generasi akan datang,” menurutnya dalam kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa inskripsi Taman Negara Niah dalam Senarai Warisan Dunia adalah kemuncak usaha berdedikasi selama bertahun-tahun oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk Sarawak Forestry Corporation, komuniti tempatan, penyokong pemuliharaan dan kerajaan Malaysia.

“Pengiktirafan berprestij ini dijangka meningkatkan usaha pemuliharaan, menggalakkan pelancongan mampan dan memupuk kerjasama antarabangsa yang lebih besar dalam memelihara warisan tidak ternilai di taman itu,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu diumumkan pada 7 malam waktu tempatan ketika sesi Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-46 berlangsung yang bermula 21 dan berakhir pada 31 Julai.

Pengiktirafan berprestij berkenaan telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia yang dipengerusikan oleh wakil dari India.

“Usaha pencalonan Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah ini telah bermula sejak tahun 2019 dengan dokumen Senarai Tentatif telah dihantar kepada pihak UNESCO pada 22 Jan 2021 dan pada 31 Jan 2023, dokumen pencalonan telah dikemukakan secara serahan tangan kepada pihak Sekretariat UNESCO di Paris, Perancis,” katanya.

Pengiktirafan itu menyaksikan Malaysia secara keseluruhannya berjaya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia UNESCO termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Kinabalu pada 2000, Bandar Bersejarah Selat Melaka dan George Town (2008) serta Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).

Menurut MOTAC, penyenaraian di bawah Senarai Warisan Dunia UNESCO dikejar oleh seluruh negara kerana ia adalah pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan. 

“Selain mempromosi dan mengetengahkan tapak warisan negara di peringkat global, pengiktirafan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan tempatan. 

“Secara tidak langsung, pengiktirafan ini juga akan meningkatkan keterlihatan Malaysia di mata dunia sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong,” katanya.

Sehingga kini, sejumlah 1,199 kawasan dari seluruh dunia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972. 

Malaysia kini berusaha mencalonkan beberapa lagi kawasan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu FRIM Forest Park Selangor, Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan