Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Unit Siasatan Forensik Sub-Akuatik PDRM tiba di Kampung Batu 4, Trolak, Perak pada jam 11.10 pagi bagi meneruskan usaha pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah. Foto Bernama

Pencarian bahan bukti kes Nur Farah Kartini ditangguh – Polis

ByBernama

TANJUNG MALIM, 19 Julai: Operasi pencarian bahan bukti bagi kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah ditangguhkan akibat air Sungai Trolak di Kampung Batu 4, Slim River dekat sini deras selain keruh dipercayai ekoran hujan awal pagi tadi.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata paras air sungai di lokasi terbabit juga naik melebihi satu meter.

“Setelah mengambil kira keadaan dan struktur sungai yang mempunyai sisa kayu serta paras air yang tidak menentu, tidak selamat untuk pasukan penyelam meneruskan operasi pencarian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata operasi itu akan diteruskan mengikut keperluan dan situasi semasa.

Tinjauan Bernama mendapati dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa kira-kira 10 anggota dan pegawai dari Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi pencarian pada 11.10 pagi.

Selepas pasukan membuat penelitian yang mengambil masa kira-kira sejam didapati air sungai berkenaan keruh, deras dan paras air pada ketinggian 2.9 meter dari jambatan kecil sehingga ke permukaan air, berbanding sebelum ini 3.9 meter.

Sungai Trolak terletak kira-kira 20 minit dari ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor yang menjadi kawasan pencarian bahan bukti sebelum ini.

Pencarian bahan bukti di sebuah parit di ladang kelapa sawit itu sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini, manakala beg tangan mangsa ditemukan di sungai berkenaan.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira 6 petang pada Isnin, selepas bekas penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) itu dilaporkan hilang sejak 10 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan petang semalam di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan