Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pelamin yang digunakan dalam perkahwinan masyarakat Melanau yang sudah wujud sejak ratusan tahun lamanya. Foto Yazid Ibrahim (TVS)

Adat resam perkahwinan masyarakat Melanau warisan penuh unik

ByHafeezzur Muzamir

MUKAH 19 Julai: Masyarakat Melanau merupakan etnik peribumi Sarawak yang kaya dengan keunikan tradisi, adat dan budaya yang wujud sejak berabad lamanya.

Salah satu keunikan etnik itu ialah adat resam perkahwinan yang mempunyai kelainan walaupun ia masih berasaskan kepada adat merisik, meminang dan majlis perkahwinan.

Menurut Ketua Kaum Kampung Tellian, Hairin Junang, kelainan dalam istiadat perkahwinan masyarakat Melanau menitikberatkan aspek status sosial kerana ia melambangkan darjat pasangan dalam institusi sosial.

Hairin menjelaskan status sosial menjadi penentu jenis barangan dan hantaran yang perlu disediakan sewaktu pertunangan dan barangan hantaran yang dihantar bersama mas kahwin.

“Pelamin yang sering digunakan dalam perkahwinan etnik Melanau mempunyai beberapa darjat iaitu lima pikul, tujuh pikul dan sembilan pikul. Pikul merupakan hierarki atau darjat pasangan pengantin dengan ia ditentukan dari keturunan bapa atau ibu.

“Kebiasaannya dalam istiadat perkahwinan ini juga ditampilkan meriam dan bendera yang diletakkan di luar rumah pengantin. Jumlah das tembakan meriam bergantung kepada pikul pasangan pengantin.

“Motif pelamin pula berasal daripada tiga negara iaitu Brunei, Indonesia dan China. Sesetengah pelamin terdapat tulisan jawi yang bermotifkan corak dari Indonesia,” katanya ketika ditemui TVS di Pesta Kaul Mukah 2024 di Pantai Kala Dana di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hairin berkata bagi perkakas hiasan yang wajib ada dalam adat perkahwinan Melanau pula terdiri daripada bitaeng bagi meletakkan makanan pengantin dan suleng iaitu tembaga yang diletakkan di meja santapan.

Suleng akan diletakkan beberapa barang di dalamnya, manakala bitaeng pula akan diisi makanan seperti durian salai, nangka salai, pisang salai, sesar unjur, sagu dan pipus dengan kesemua ini untuk santapan pasangan pengantin,” katanya.

Katanya, Pesta Kaul Mukah 2024 menjadi platform terbaik untuk mendedahkan warisan adat serta kebudayaan masyarakat Melanau bagi memastikan wujudnya kesinambungan agar adat etnik itu sentiasa diamal dan dipraktikkan tutun temurun sekali gus memastikannya tidak akan berakhir.

Pesta Kaul yang merupakan acara ikonik di bahagian Mukah berlangsung dari 13 hingga 21 Julai ini dengan 22 gerai komuniti didirikan di Pantai Kala Dana bagi mempromosi keunikan adat dan budaya masyarakat Melanau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan