Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dewan Rakyat: Kerajaan teliti gubal undang – undang baharu tangani buli siber

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menggubal undang – undang baharu yang bersesuaian dengan keperluan semasa bagi menangani jenayah buli siber yang semakin berleluasa.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Buli Siber yang berlangsung pada 10 Julai dan semalam.

Jelas beliau, mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azlina Othman Said, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Beberapa perkara dibincangkan termasuk aspek kawal selia, kuatkuasa, undang – undang serta isu-isu yang melibatkan perkara berkaitan perjalanan kes di mahkamah, bagaimanapun kita akan bentang dan maklumkan kepada Jemaah Menteri sebelum kita umum hasil perbincangan semalam.

“Keperluan undang – undang baharu ini (kerana) kita lihat perubahan cara orang berkomunikasi dan kedepan yang mungkin berbeza,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Perikatan Nasional – Pasir Mas) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan  inisiatif terkini kerajaan dalam menggubal undang-undang khusus melibatkan kerjasama rentas kementerian bagi menangani insiden buli siber.

Tambah Fahmi, undang – undang sedia iaitu Seksyen 503 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan atau Akta 574 merupakan peruntukan sedia ada yang boleh digunakan untuk menangani kesalahan buli siber.

Berkenaan soalan tambahan Ahmad Fadhli mengenai keperluan mengimbangi kebebasan bersuara susulan tindakan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menutup ruang komen melibatkan hantaran berita termasuk mengenai dirinya, Fahmi menjelaskan beliau tidak pernah mengarahkan agensi itu berbuat demikian.

“(Sebenarnya ada) keputusan yang pernah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 2021 berkenaan komen pembaca yang dimuat naik dalam ruang portal media (iaitu) keputusannya platform tersebut bertanggunjawab terhadap komen.

“Saya pasti media seperti Bernama (atau) media lain mereka ambil maklum dan ada hak kenakan sekatan,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak menulis komen mengandungi unsur buli siber di media sosial ketika sesi live berlangsung kerana pihak berkuasa boleh mengesan pelakunya.

“Buli siber ini berselindung di sebalik fake acount , seringkali bila sesi live, (pembuli siber fikir) tidak mengapa, masukkan komen (kerana) lepas ini akan hilang, (sebenarnya) tidak betul (kerana) SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM sudah) dapat kerjasama pengendali platform untuk kenal pasti pemilik akaun yang memberi komen tidak wajar walaupun dalam sesi live, ” katanya.

Dalam pada itu Fahmi memaklumkan Tiktok menambah jumlah moderator termasuk dalam bahasa vernakular susulan insiden membabitkan pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha.

“Sesi siaran langsung menerusi TikTok (biasanya) berlaku pukul 3, 4 pagi (oleh itu) mood pemantauan perlu berubah,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan