Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengunjung yang hadir ke Pesta Kaul Mukah 2024 mengambil peluang menyertai pertandingan Pisak Tibou yang berlangsung di sini, hari ini. Foto Yazid Ibrahim (TVS)

Pisak Tibou: Aksi berani pemuda Melanau pikat hati gadis idaman

ByHafeezzur Muzamir

MUKAH, 17 Julai: Dikategorikan sebagai sukan ekstrem, Pisak Tibou merupakan permainan tradisi masyarakat Melanau telah wujud sejak ratusan tahun dahulu yang kini menjadi tumpuan pada Pesta Kaul Mukah.

Tibou iaitu sejenis permainan buaian gergasi mempunyai keunikan sejarah yang tersendiri dengan menyaksikan pergerakan hayunan daripada tempat yang tinggi.

Menurut Pengerusi Pengelola Pertanding Pisak Tibou Kaul Mukah 2024, Boniface Bait, pada zaman dahulu, pemuda lelaki Melanau bermain tibou bertujuan untuk memikat pasangan yang disukainya dengan mempamerkan aksi lagak ngeri.

“Orang muda zaman dahulu dia menarik perhatian wanita yang disukainya dengan menunjukkan kegagahan bermain tibou. Mereka menunjukkan keberanian untuk terjun dengan membuat ayunan dan ada antara mereka turut berpantun.

“Pada masa itu, sudah menjadi kebiasaan pemuda di kawasan kampung untuk mencari pasangan menerusi berpantun dan berhayun dengan imbangan yang baik dan kemudiannya kalau yang melihat (wanita), dia akan suka,” katanya ketika ditemui TVS di Pesta Kaul Mukah 2024 di Pantai Kala Dana di sini, hari ini.

Menceritakan dengan lebih lanjut, Boniface berkata, Pisak Tibou merupakan permainan masyarakat Melanau yang kebiasaannya dilangsungkan selepas musim menuai padi berakhir dan bermulanya musim menangkap ikan di laut.

“Selalunya tibou ini akan didirikan di hujung kampung di kawasan tanah lapang agar orang kampung boleh bermain di situ dengan senang hati,” katanya.

Menurut beliau, ketinggian tibou adalah antara lapan hingga 10 meter dan dibina dalam keadaan yang condong di atas tanah rata dengan terbahagi kepada dua bahagian iaitu para atau pemidang yang seakan-akan anak tangga dan dua batang tiang yang berbentuk piramid.

Katanya, juntaian tali yang diikat pada batang tiang itu akan dihayun dari kiri ke kanan seperti sebuah buaian gergasi.

Sementara itu, Boniface mengakui Pesta Kaul Mukah merupakan platform terbaik untuk mempromosi permainan itu agar ia tidak hilang ditelan zaman.

“Kita mahu promosi dan memberi pendedahan permainan Pisak Tibou ini kepada remaja untuk meneruskan legasi ini kerana kami sudah berusia dan sudah tidak mampu lagi nak melakukan terjunan dan hayunan.

“Kita memerlukan anak-anak muda yang berani dan tangkas untuk meneruskan permainan tradisi Melanau ini,” ujarnya.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui menzahirkan keterujaan dengan permainan itu sambil menyifatkan ia sebagai tarikan utama dalam Pesta Kaul.

Danggat Chabo, 47 berkata, dia sanggup datang dari Sarikei untuk merasai peluang bermain tibou selepas tidak berkesempatan bermainnya pada Pesta Kaul edisi tahun lalu.

“Bagi saya ia sangat menyeronokkan kerana begitu mencabar, apabila kita mencubanya sekali sudah pasti kita mahu bermainnya lagi. Pada mulanya saya akui sedikit takut tetapi apabila terjunan dibuat terus timbul perasaan seronok,” katanya.

Senada dengannya, Eva Xavierina, 18, berharap permainan berkenaan dipromosikan dalam setiap pesta dan festival di negeri ini bagi meuar-uarkan keunikannya.

“Harapan saya agar Kerajaan Sarawak dapat mempromosi permainan ini kerana ia unik dan lain daripada lain kerana tidak semua tempat ada. Selain itu, cara pembuatan buaian ini juga berbeza daripada yang lain, keunikannya harus ditonjolkan kepada dunia luar,” katanya.

Untuk rekod, tahun ini merupakan kali kedua permainan tibou dipertandingkan dalam Pesta Kaul selepas kali pertama pada edisi tahun lalu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan