Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malik Mauludin (tengah) menunjukkan Bidar Lukut yang digunakan dalam perlumbaan pada Pesta Kaul Mukah 2024. Foto Yazid Ibrahim (TVS)

Bidar Lukut bawa rezeki kepada pengusaha, tarikan pengunjung luar

ByHafeezzur Muzamir

MUKAH, 17 Julai: Lumba Bidar Lukut merupakan permainan tradisi masyarakat Melanau yang unik di Mukah telah menjadi tarikan utama dalam Pesta Kaul kali ini.

Sukan air itu telah menyaksikan sambutan hangat daripada segi penyertaan dan jumlah penonton yang hadir pada tempoh hari.

Bidar bermaksud perahu, manakala lukut ialah daun yang digunakannya untuk berlayar  sementara permainan ini menggunakan 100 peratus kuasa angin untuk menggerakkannya.

Menurut pembuat perahu lukut, Malik Mauludin, sambutan hangat terhadap permainan itu dalam Pesta Kaul kali ini telah membuatkan dirinya tidak menang tangan menerima tempahan daripada peserta, malah ada antara pengunjung yang membeli dengan harga yang tinggi untuk dibawa pulang.

“Pada tahun ini jumlah penyertaan meningkat kepada 468 peserta jadi ada antara mereka yang menempah dari kami. Setiap sebuah perahu ini dijual dengan harga antara RM300 hingga RM350 mengikut kepada saiz dan jenis kayu.

“Misalnya ada kumpulan yang menempah lima perahu sekali gus untuk menyertai acara itu. Perahu ini juga menjadi tarikan kepada orang luar yang berkunjung ke Pesta Kaul yang bertanya mengenainya kepada kami, jadi kami jual juga.

“Selain itu, jualan perahu yang diletakkan dalam kotak kaca juga menerima permintaan yang tinggi,” katanya ketika ditemui TVS di Pesta Kaul Mukah di Pantai Kala Dana di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya daun lukut kering juga membawa rezeki kepada penduduk di sini apabila ia dijual kepada pemilik perahu dengan harga antara RM30 hingga RM50 setiap satu dengan sekurang-kurangnya lapan helaian diperlukan.

“Pada zaman dahulu, perahu lukut diperbuat daripada buluh dan kini ia dibina menggunakan pelbagai jenis kayu seperti jati.

“Dahulu mereka bermain di sungai, tetapi kini ia dimainkan di litar yang dibina sepanjang 150 kaki. Permainan bidar lukut ini dilakukan berdasarkan arah angin dengan ia akan bergerak dengan tiupan angin dari mula sehingga ke garisan penamat.

“Ini merupakan permainan tradisi masyarakat Melanau dan ia akan terus dimainkan tahun ke tahun,” katanya.

Pesta Kaul Mukah 2024 berlangsung dari 13 hingga 21 Julai ini bertempat di Pantai Kala Dana dengan kehadiran pengunjung pada edisi kali ini dijangka mencecah 10,000 orang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan