Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim ditemui pada sidang media di Eden Garden Cafe, malam tadi. Foto TVS

PERKIP, PMNS anjur program santuni anak yatim

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 16 Julai: Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (PERKIP) bersama Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) menganjurkan program menyantuni kira-kira 50 orang anak-anak yatim yang akan berlangsung di Eden Garden Cafe, di sini, pada esok.

Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim berkata, program yang julung kali diadakan itu adalah untuk meraikan salah satu hari istimewa bagi umat Islam, iaitu pada setiap 10 Muharram dalam takwim Hijrah, yang mempunyai banyak kelebihan dan fadilatnya tersendiri.

“Untuk pengisian pada 10 Muharram (16 Julai), kita juga mengambil keberkatan untuk bersama-sama membaca yasin, bertahlil dan semoga segala yang kita lakukan akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada mereka yang masih hidup, tetapi juga kepada mereka yang terdahulu daripada kita.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan melakukan solat sunat hajat, mendoakan agar dunia kita sentiasa aman, umat Islam dilindungi Allah SWT, tiada perkelahian dan semua usaha kita juga dilancarkan,” katanya dalam satu sesi sidang media, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Jumaat berkata, anak-anak yatim yang diraikan pada program tersebut adalah melibatkan anak yatim dari pusat tahfiz yang bertempat di Kampung Siol Kandis dan Taman Sukma Kuching.

Tambah beliau, program sedemikian turut dilaksanakan pihaknya di beberapa bahagian lain di seluruh Sarawak dalam usaha untuk memperoleh manfaat daripada hari kesepuluh di dalam bulan Muharram itu.

“Saya berharap dengan adanya pendekatan di antara PMNS dan PERKIP, program seperti ini bukan hanya dilaksanakan pada tahun ini, Insya-Allah, diharap akan diadakan pada tahun depan juga.

“Selain pihak kami, diharapkan juga persatuan-persatuan kebajikan lain akan dapat bersama-sama meneruskan sunnah Nabi Muhammad SAW yang sentiasa kita puji dan amalkan, agar semua dapat manfaat pahala daripadanya,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan