Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengusaha sagu dari Kampung Tellian menunjukkan demonstrasi memasak sagu di atas belanga yang berusia lebih 100 tahun. Foto Yazid Ibrahim (TVS)

Belanga berusia lebih 100 tahun terus berbakti kepada pengusaha sagu di Kampung Tellian

ByHafeezzur Muzamir

MUKAH, 16 Julai: Kaedah memproses butiran sagu tidak akan berubah meskipun dunia semakin moden kerana masih tiada mesin khas dicipta sehingga ke hari ini untuk menggantikannya.

Di Mukah, periuk gergasi yang digelar sebagai ‘belanga’ oleh masyarakat Melanau terus berbakti kepada penduduk Kampung Tellian kerana digunakan sejak lebih 100 tahun lalu untuk memproses sagu.

Menurut pengusaha sagu, Nipah Junan, pembinaan ‘belanga’ untuk membuat sagu oleh generasi terdahulu menyaksikan ia masih kukuh dan berfungsi dengan baik apabila peralatan itu terus berjasa kepada penduduk di kawasan itu untuk mencari rezeki menerusi penghasilan butir sagu.

Nipah menjelaskan, ‘belanga’ diperlukan pada proses akhir yakni memasak butir sagu di atas ‘belanga’ yang dipanaskan menggunakan kayu api.

“Belanga ini turun temurun dari datuk, nenek, moyang kami, sudah ratusan tahun ia wujud sebelum kami lahir lagi. Terdapat beberapa buah lagi belanga dengan saiz yang lebih besar di Kampung Tellian yang digunakan penduduk untuk menghasilkan sagu.

“Selain memasak sagu, ‘belanga’ ini juga digunakan untuk menghasilkan tebaloi nipis dan tupek. Pada setiap ‘belanga’ ini terdapat sekurang-kurangnya tiga corong untuk meletakkan kayu api.

“Pengusaha sagu pasti memerlukan ‘belanga’ untuk memproses sagu kerana sehingga kini masih tiada lagi mesin yang mampu menggantikan tugasnya,” katanya ketika ditemui TVS di Pantai Kala Dana di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nipah berkata, butir sagu yang diletakkan di atas belanga itu akan dimasak menggunakan lidi dan kain bagi menggaulnya sehingga masak dalam masa 30 hingga 45 minit.

“Lidi digunakan untuk meratakannya manakala fungsi kain pula adalah untuk mengasingkan debu halus daripada sagu,” katanya.

Selain itu, Nipah berkata bahan lain yang diperlukan untuk melengkapkan prosesnya adalah peralatan seperti paka, takung, upak dan kejangan.

Terdapat dua jenis bijian sagu yang terkenal di daerah Mukah iaitu sagu biasa dan sagu tupek (sagu kelapa) yang dimasak di atas belanga. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan