Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seni anyaman seraheng di Pantai Kala Dana di sini, hari ini. Foto Yazid Ibrahim (TVS)

Pesta Kaul Mukah: Seni penghasilan seraheng terus dipelihara, diwarisi generasi muda

ByHafeezzur Muzamir

MUKAH, 15 Julai: Seni anyaman seraheng yang bermula sejak berdekad lamanya terus dipelihara apabila ia ‘disuburkan’ ke dalam jiwa generasi muda untuk menghasilkannya.

Seraheng yang terkenal sebagai perkakas digunakan bagi meletakkan makanan dan minuman bagi tujuan memuja ‘penjaga’ laut atau sungai pada Pesta Kaul Mukah menyaksikan seni untuk menghasilkannya terus dipelihara dan mutu penghasilannya ditambah baik.

Seni anyaman seraheng di Pantai Kala Dana di sini, hari ini. Foto Yazid Ibrahim (TVS)

Menurut Bapa Kaul, Slaman Tuna, penganjuran Pesta Kaul Mukah dijadikan sebagai platform terbaik bagi menarik minat dan memberi pendedahan kepada generasi muda untuk menghasilkan seraheng.

“Tujuan seraheng ini dihasilkan adalah sebagai alat perhiasan dan juga bakul yang diletakkan makanan untuk dipersembahkan kepada penjaga laut. Proses menghasilkannya mengambil masa dua hingga tiga hari kerana banyak motif bunga yang perlu dihasilkan,” katanya ketika ditemui TVS di Pantai Kala Dana di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembuatannya melibatkan beberapa jenis daun iaitu ‘nypak’, ‘tigoh’ dan ‘isang’ selain turut memerlukan buluh.

Manakala motif bunga yang kebiasaannya dihasilkan pada seraheng pula ialah seperti ‘itekyang’ dan ‘beburong’ dengan penghasilannya memerlukan ketelitian dan seni anyaman didasari oleh ilmu.

Sementara itu, golongan belia yang menyertai bengkel seraheng pada pesta kaul edisi kali ini mengakui sukar untuk menghasilkannya sekiranya tiada minat dan tidak meletakkan jiwa dalam penghasilannya.

Bagi Eunice Vanessa Francis, 21, khuatir seni itu ditelan zaman, dia mengambil inisiatif untuk mempelajarinya bagi membolehkan dirinya mempromosikan seni masyarakat Melanau itu kepada dunia luar.

“Pada mula saya sertai bengkel ini tadi memang kurang berminat, tetapi untuk dapatkan pengalaman saya perlu belajar kerana pada zaman ini harus diakui generasi saya melupakan adat dan tradisi kami,” katanya.

Senada dengannya, Aryanna Arabella Arwan, 19, yang mengambil tanggungjawab meneruskan penghasilan seraheng dengan mempelajarinya pada setiap tahun semasa pesta kaul.

“Apa yang menarik minat saya ialah sebab tidak ramai anak muda yang nak belajar hasilkan seraheng. Walaupun sukar, tetapi apabila sudah tahu teknik yang betul, ia akan menjadi mudah untuk disiapkan,” ujarnya.

Pesta Kaul Mukah 2024 berlangsung bermula 13 hingga 21 Julai ini.

Untuk rekod, Pesta Kaul dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan sebagai acara tahunan yang diadakan di Mukah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan