Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak tepis kritikan, komited perkasakan Bahasa Inggeris dalam pendidikan – Annuar

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 12 Julai: Sarawak menepis kritikan segelintir pihak yang mempersoalkan pendiriannya dalam memperkasakan penggunaan Bahasa Inggeris terutamanya dalam bidang pendidikan, kata Datuk Dr Annuar Rapaee.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak itu berkata negeri ini bertegas dengan komitmen berkenaan serta mengakui kesedaran berkaitan kepentingan penggunaan Bahasa Inggeris pada masa kini.

“Kita di Sarawak tidak akan menyerah kalah dengan apa juga bentuk tekanan untuk tidak menggunakan Bahasa Inggeris di sekolah.

“Kita perlu membuat keputusan mengenainya dan dengan itu, kita tetap dengan pegangan, lakukan apa yang betul untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Jelasnya kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu para pelajar untuk lebih menguasai penggunaan Bahasa Inggeris.

Ia bukan sekadar dalam bentuk peruntukan, tetapi juga dari segi pelaksanaan dasar.

“Ketika Sarawak ditawarkan untuk melaksanakan DLP secara penuh di negeri ini, kita bersetuju. Bahkan mereka katakan tidak ada peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

“Tidak mengapa, duit boleh dicari. Masa hadapan adalah lebih penting daripada apa yang kita ada sekarang. Justeru kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah bersetuju untuk melaksanakan DLP secara sepenuhnya,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis penutupan Sarawak English Language Education Symposium (SELES) 2024 di Raia Hotel and Convention Centre, di sini hari ini.

Beliau pada masa sama memaklumkan bahawa Sarawak merupakan wilayah pertama dan satu-satunya wilayah di Malaysia setakat ini yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan kesemua calon UEC berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi secara percuma di bawah inisiatif pendidikan percuma yang bakal dilaksanakan Kerajaan Sarawak pada 2026 kelak.

“Kita menawarkan kepada calon-calon UEC untuk menyambung pengajian di universiti-universiti milik kerajaan negeri.

“Saya kira Sarawak merupakan tempat terbaik untuk melanjutkan pelajaran pada masa hadapan. Kita mahu menggunakan Bahasa Inggeris, kita mahu sediakan institusi pengajian tinggi terbaik di wilayah ini,” ulasnya lagi.

Untuk rekod SELES 2024 telah menghimpunkan seramai 285 guru dan pegawai dari seluruh Sarawak termasuk dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, Sri Aman, Betong dan sekolah-sekolah di seluruh Sarawak antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu dan Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan