Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa: Sejarah Kedah Tua berdasarkan Catatan Yi-Jing, pada Khamis. Foto: FB Aaron Ago Dagang

Kemas kini sejarah Lembah Bujang dipertimbang – Aaron

ByTVS

PETALING JAYA, 12 Julai: Dapatan baharu mengenai sejarah Kedah Tua khususnya Lembah Bujang akan dipertimbangkan untuk dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengemas kini catatan sedia ada dalam subjek berkaitan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara itu walau bagaimanapun akan diperhalusi mengikut naratif dapatan terbaharu yang dikongsikan dalam persidangan antarabangsa anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (PKHM).

“Kita akan lihat (bawa dapatan kepada KPM), memang sudah ada dalam sejarah (Kedah Tua) tetapi penemuan baharu nanti kita perlukan naratif mengikut dapatan baharu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa: Sejarah Kedah Tua berdasarkan Catatan Yi-Jing, pada Khamis.

Dalam pada itu menurut Aaron, perkongsian menerusi persidangan tersebut akan melengkapkan sejarah negara secara konkrit berdasarkan sumber luar yang diyakini kesahihannya.

Beliau menjelaskan, dapatan baharu turut melibatkan perbandingan secara komprehensif berdasarkan penemuan terkini dalam bidang penyelidikan sejarah dan arkeologi negara.

“Sejarah Kedah Tua merupakan antara khazanah berharga negara dan sebagai sebuah kerajaan purba yang pernah wujud di utara Malaysia, ia memainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun awal di rantau ini.

“Kewujudan catatan Yi-Jing, seorang pendeta dan sarjana Buddha dari China yang melawat Asia Tenggara pada abad ke-7, telah memberi gambaran berharga tentang kehidupan masyarakat di Kedah Tua pada zaman tersebut.

“Dalam catatannya, Yi-Jing menggambarkan Kedah Tua sebagai pusat perdagangan yang maju dan masyarakatnya memiliki kebudayaan yang kaya dan unik,” katanya.

Sementara itu beliau turut memaklumkan, persidangan antarabangsa berkenaan turut diadakan bersempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun ini.

“Sejak terjalinnya hubungan diplomatik, Malaysia dan China telah meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan, pelancongan, kebudayaan, pendidikan, kesihatan, sains dan teknologi.

“Saya percaya hubungan ini akan terus diperkukuhkan melalui program-program yang menjurus kepada budaya dan akademik,” ujarnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan