Search
Close this search box.
Stanford menunjukkan kesemua pingat yang dimenangi beliau termasuk pengiktirafan dunia 'World Champion All Division' di Lapangan Terbang Sibu pada malam Rabu. Foto TVS

Stanford Ryan masih tidak percaya dinobatkan ‘World Champion All Division’ WCOPA ke-27

SIBU, 11 Julai: Stanford Ryan Sidi, pemain sape dari Sibu mengakui tidak percaya bahawa dirinya dinobatkan gelaran ‘World Champion All Division’ setelah meraih pingat emas untuk karya ciptaannya ‘Borneo Journey’ pada Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-27 di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Selain kejayaan itu, Stanford, 26, juga turut memenangi pingat perak dalam kategori Kontemporari, Klasik dan Terbuka, serta pingat gangsa dalam kategori Jazz.

“Saya sangat gembira kerana berjaya mendapatkan pingat dalam semua kategori ini dan tidak percaya saya mampu mendapat gelaran ‘World Champion All Division’ melalui kategori karya asli.

“Saya menjangkakan saya mungkin hanya membawa pulang dua atau tiga medal tapi mengejutkan saya dapat pingat dalam semua kategori termasuk pengiktirafan dunia,” katanya ketika ditemui TVS di Lapangan Terbang Sibu semalam.

Di sebalik kejayaannya, Stanford merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak kerana telah membiayai penyertaannya ke Amerika Syarikat.

“Bersyukur terima kasih dengan pembiayaan itu saya dapat semua ini dan terima kasih tidak terhingga kepada keluarga yang tidak henti menyokong saya.

“Terima kasih juga kepada Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK) kerana telah membantu menguruskan segala hal untuk perjalanan saya dan mengusahakan dana untuk saya,” ujarnya.

Beliau mendedahkan perancangannya selepas ini adalah bakal mengeluarkan sebuah album solo instrumen sape sekitar dua bulan akan datang dan berharap ia akan diterima semua.

Kemenangan kategori Karya Asli yang memenangi pingat emas dan gelaran ‘World Champion All Division’ itu, Stanford berkata lagu ciptaannya sendiri menggunakan sape itu mempunyai cerita disebaliknya.

Ia mengisahkan perjuangan dan perjalanan mencabar beliau dalam pertandingan tersebut.

Sementara itu, Cynthia Yut Gana ibu kepada Stanford Ryan berasa amat bangga dengan pencapaian anaknya dan tidak menjangka beliau mampu memperoleh semua kemenangan tersebut.

“Sebagai ibu saya mengakui dia adalah seorang yang amat gigih berlatih bermain sape dan kuat semangat untuk sampai ke tahap ini walaupun kekangan masa disebabkan kerja.

“Walaupun berjauhan, kami tetap berhubung setiap hari untuk mengetahui perkembangannya dari segi latihan,” katanya.

Manakala, Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK), Danison Manium berkata Stanford yang merupakan ahli persatuan itu adalah pemain sape yang sangat berdedikasi tinggi.

Katanya, dalam setiap pertandingan Sape yang disertai Stanford pasti akan memberikan yang terbaik dan bersungguh-sungguh dalam setiap persembahannya.

“Saya ucapkan tahniah kepada Stanford kerana telah berjaya membawa pulang beberapa pingat yang cukup membanggakan Sarawak dan saya nampak peningkatan beliau dari segi permainan sape sehingga mampu ke peringkat dunia dan terserlah dengan apa yang diraih sekarang,” ujarnya.

Menurutnya lagi, PUSAK telah berjaya mendapatkan pembiayaan daripada MTCP melalui dana mudah cara yang membolehkan Stanford dihantar ke WCOPA yang berlangsung dari 27 Jun hingga 6 Julai di California, Amerika Syarikat.

Beliau bersyukur kerana dana itu menjadi penyumbang kepada Stanford memperoleh kejayaan sekali gus mencapai impiannya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan