Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan bulanan berjumlah RM147.9 bilion, berkembang 7.1 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024. Foto DOSM

Jualan perdagangan borong, runcit capai RM147.9 bilion pada Mei

ByRegina Lee

PUTRAJAYA, 11 Julai: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan bulanan berjumlah RM147.9 bilion, berkembang 7.1 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, peningkatan ini dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 8.7 peratus atau RM5.1 bilion kepada RM64.0 bilion.

“Perdagangan borong juga bertumbuh 4.7 peratus (RM2.9 bilion) kepada RM65.1 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 10.5 peratus (RM1.8 bilion) untuk mencapai RM18.8 bilion,” katanya.

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit naik 2.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, disokong oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing dengan 8.8 peratus dan 2.0 peratus.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir memaklumkan pertumbuhan 8.7 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 10.7 peratus (RM2.4 bilion) kepada RM24.9 bilion.

“Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (12.8%), jualan runcit bahan api kenderaan (8.1%), jualan runcit barangan isi rumah (5.3%), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (9.6%), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (3.4%), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (8.0%) dan jualan runcit di gerai dan pasar (5.9%),” katanya.

Menurutnya bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menokok 0.3 peratus, disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (0.9%),jualan runcit bahan api kenderaan (0.6%) dan jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (1.1%).

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, kenaikan 4.7 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM0.9 bilion (4.0 peratus) kepada RM24.1 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (6.5%), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (6.2%), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (3.9%), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (1.8%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (4.3%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.2%). Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong naik 2.0 peratus, terutamanya disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah (2.9%), jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (4.7%) dan lain-lain pengkhususan jualan borong (0.9%),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.5 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Mei dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 11.1 peratus (RM1.0 bilion) untuk merekodkan RM9.9 bilion, diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (11.9%), dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (12.8%).

Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini kembali positif dengan 8.8 peratus, didorong oleh jualan kenderaan bermotor (14.9%) dan jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal (17.2%).

Untuk indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini berkembang 5.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024 berbanding 4.3 peratus pada April 2024. Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menyusut -4.7 peratus berbanding bulan sebelum.

Dari segi indeks volum, Perdagangan Borong dan Runcit pada Mei 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus, disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (9.6%), perdagangan runcit (6.8%) dan perdagangan borong (3.4%).

Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh -0.9 peratus bulan ke bulan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan