Search
Close this search box.

Pendidikan, perpaduan berjalan seiring lahirkan generasi genius Sarawak – Rundi

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 9 Julai: Dua matlamat iaitu pendidikan dan perpaduan menjadi kunci utama dalam usaha melahirkan lebih ramai generasi genius di Sarawak, kata Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak itu berkata usaha itu jelas terserlah dengan pelaksanaan inisiatif pendidikan percuma di universiti milik kerajaan Sarawak bermula 2026 kelak.

“Kita mengekalkan perpaduan dan hubungan sesama masyarakat berbilang kaum dan etnik, tetapi dalam masa yang sama kita melahirkan sebanyak mungkin generasi bijak pandai.

“Itulah sebabnya kita merancang untuk melaksanakan pendidikan percuma pada 2026 nanti di universiti-universiti milik kerajaan Sarawak dan kita juga merancang agar sekolah-sekolah antarabangsa menyelaraskan silibus seperti apa yang disukai di negara Barat bagi menjadikan Sarawak lebih kompetitif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Tambah Rundi, usaha Kerajaan Sarawak ke arah itu dapat dilihat melalui siri lawatan ke negara-negara maju termasuk negara Barat dan negara-negara Timur bagi melihat sendiri kemajuan yang dibangunkan dan menjadikan ia sebagai penanda aras bagi Sarawak termasuk dalam bidang teknologi dan agrikultur.

“Lawatan itu adalah bagi melihat sendiri dan menetapkan satu penanda aras, dan dengan itu kita berupaya untuk turut mencipta kejayaan sepertimana di negara-negara berkenaan,” jelasnya lanjut.

Ahad lepas Premier Sarawak mengumumkan kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk memberikan pendidikan percuma kepada anak Sarawak di universiti milik Sarawak pada 2026.

Beliau berkata hanya ilmu pengetahuan dapat memastikan taraf hidup rakyat meningkat dan seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah.

Tegasnya Sarawak diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi pada tahun lalu, justeru beliau juga mahu rakyat berpendapatan tinggi.

Untuk rekod institusi pendidikan milik kerajaan Sarawak termasuk Kolej Universiti i-Cats, Kolej Laila Taib, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Curtin, Universiti Teknologi Swinburne dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan