Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (empat, kanan) bergambar bersama Kontinjen Paralimpik pada Majlis Pelancaran Kira Detik 50 Hari Menjelang Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan hari ini. Foto Bernama

Boccia antara sandaran sumbang emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 – MPM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Boccia menjadi antara sukan sandaran kontinjen negara untuk melengkapkan sasaran empat pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata selain boccia, sukan lain yang pernah membutirkan emas pada temasya itu ialah olahraga, powerlifting dan badminton kekal menjadi sasaran penyumbang pingat.

“Atlet mana yang disasarkan menang emas, kita belum maklumkan lagi. Kita akan umumkan secara rasmi selepas mesyuarat jawatankuasa  pemilihan nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 50 Days Countdown Paris 2024 Paralympic Games di sini hari ini.

Setakat ini, kontinjen negara telah menyumbang enam emas di Sukan Paralimpik dengan dua daripadanya diperoleh menerusi jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020 dalam acara lompat jauh T20.

Dua lagi atlet olahraga turut mencipta kejayaan sensasi membawa pulang emas pada edisi Rio 2016 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20) manakala Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) dan Cheah Liek Hou (badminton) menambah koleksi emas negara pada Tokyo 2020.

Pada edisi Tokyo 2020, Chew Wei Lun melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama dari sukan boccia yang menyumbang pingat perak bagi acara BC1 (kecacatan fizikal) selepas tewas kepada wakil Great Britain, David Smith 2-4.

Pada Mac lepas, Megat D. Shahriman berkata MPM mahu mencipta sejarah dengan menyasarkan empat emas di Paris sekali gus mencapai misi emas ke-10 Malaysia sepanjang penyertaan mereka di temasya Sukan Paralimpik.

Sementara itu, Megat D. Shahriman mengumumkan setiap atlet yang layak ke Sukan Paralimpik 2024 akan menerima sebuah kerusi urut dan beberapa barangan lain manakala ganjaran berupa hadiah wang tunai menanti pemenang pingat di Paris diberikan penaja dari syarikat berasaskan produk kesihatan, Zero Healthcare.

Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024 Datuk R Subramaniam menjangkakan empat lagi atlet bakal mengikut jejak 25 atlet yang telah melayakkan diri ke Paris.

Beliau yang juga Setiausaha Agung MPM berkata empat atlet berkenaan terdiri daripada tiga atlet powerlifting manakala seorang lagi dari sukan berbasikal para.

Katanya, pengumuman rasmi mengenai penambahan atlet  akan diumumkan selepas berakhirnya mesyuarat jawatankuasa pemilihan minggu depan. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan