Search
Close this search box.
Pengunjung agama Islam kini boleh menikmati pemandangan panorama sambil menunaikan solat di sebuah surau kecil yang dibina di puncak Gunung Keriang." Foto Bernama

Surau atas Gunung Keriang beri kemudahan selesa pengunjung tunai ibadah

ByBernama

ALOR SETAR, 6 Julai: Pengunjung beragama Islam yang melakukan aktiviti mendaki Gunung Keriang di sini kini boleh menunaikan ibadah lebih selesa selepas sebuah surau kecil dibina di puncak gunung itu di ketinggian 217 meter dari paras laut.

Inisiatif pembinaan surau itu dilaksanakan oleh ahli Komuniti Keriang Hill (KKH) dalam usaha membolehkan pengunjung melaksanakan ibadah ketika melakukan aktiviti riadah selain menarik lebih ramai pengunjung ke Gunung Keriang.

Mohd Asri Baharom, 58, seorang daripada ahli KKH berkata kelab yang mula ditubuhkan pada 2019 itu kini mempunyai lebih 60 ahli berusia antara 15 hingga 68 tahun terdiri pelbagai latar belakang antaranya doktor, jurugambar, pesara dan pelajar.

“Pada peringkat awal, kami semua tidak kenal satu sama lain dan hanya bertegur sapa ketika mendaki Gunung Keriang. Tetapi, apabila kerap terserempak kami mula mengenali dengan lebih rapat dan dari situlah kelab ini tertubuh dan mula bergiat aktif dan pelbagai usaha telah dijalankan untuk pengunjung.

“Sebelum ini, kami bersihkan kawasan bersemak di atas puncak gunung bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan pemandangan 360 darjah…selepas itu, Gunung Keriang mula tular di media sosial dan jumlah pengunjung bertambah terutamanya ketika hujung minggu,” katanya kepada pemberita di Gunung Keriang di sini, hari ini.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu pustakawan di Perpustakaan Awam Negeri Kedah berkata melihat kepada jumlah pengunjung yang semakin bertambah membuatkan ahli KKH membina surau kecil berkenaan pada awal Jun lepas secara gotong-royong dan hanya memakan masa kurang sebulan untuk disiapkan.

“Ahli kelab turut menyumbang untuk membeli barangan seperti besi dan kayu selain ada juga pihak lain menyumbang dengan kos keseluruhan membina surau ini berjumlah RM800. Dalam kalangan kami ada yang pandai bertukang jadi mereka memainkan peranan penting dalam projek ini.

“Ahli lain pula, banyak yang sumbangkan tenaga mereka dengan membawa naik besi dan kayu tanpa mengira cuaca hujan atau panas…hujan macam mana sekali pun kami tetapi bergerak kerana kami ingin menyiapkan surau ini secepat mungkin bagi membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan itu.

Beliau berkata surau itu mampu memuatkan 10 individu dalam satu masa dan membolehkan pengunjung yang naik ke puncak gunung pada waktu pagi dan turun pada waktu petang atau malam untuk menunaikan solat atau melakukan ibadat lain.

Mohd Asri juga meminta kerjasama pengunjung untuk memanfaatkan surau yang dibina serta senantiasa menjaga kebersihan untuk pengunjung beribadah tanpa was-was. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan