Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2024 di Waterfront Hotel, Kuching pada Jumaat. Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmod dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Serah dana kepada Sarawak laksana projek jika Putrajaya tidak mampu – Abang Johari

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 6 Julai: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya menyerahkan kuasa melaksanakan projek pembangunan di sini kepada Kerajaan Sarawak sekiranya agensi pusat tidak berupaya menyempurnakan tugas berkenaan.

Premier Sarawak itu meyakini bahawa rakyat Sarawak sendiri memiliki keupayaan untuk menguruskan projek pembangunan sedemikian sekiranya dana disediakan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika mereka (kerajaan pusat) tidak dapat melaksanakan projek tempatan, berikan kuasa kepada Kerajaan Sarawak untuk melakukannya.

“Tidak sepatutnya wujud masalah dalam melaksanakan projek-projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2024 di Waterfront Hotel, Kuching pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beliau telah menyampaikan perkara berkenaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Perdana Menteri hadir pada satu program di Samarahan, baru-baru ini.

“Hasilnya Sarawak menerima kelulusan untuk menggunakan dana sendiri bagi membina sekolah dan Kerajaan Persekutuan akan membayar semula perbelanjaan itu,” kata beliau.

Dalam pada itu Abang Johari turut mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mencontohi pendekatan desentralisasi yang dilaksanakan Sarawak bagi memperkasakan pihak berkuasa tempatan.

Beliau memberi contoh di wilayah ini, terdapat sembilan agensi pembangunan telah ditubuhkan untuk memperkasakan pemimpin luar bandar.

Jelas Abang Johari setiap agensi berkenaan menerima peruntukan berjumlah RM1.5 bilion untuk melaksanakan pembangunan dalam tempoh tiga tahun sebelum dana tambahan diberikan.

“Ini bermakna pembuatan keputusan diuruskan oleh pemimpin tempatan yang kita sebut sebagai desentralisasi.

“Jika tidak, semuanya akan diuruskan secara pusat di Petra Jaya, di Wisma Bapa Malaysia,” ujar beliau.

Tambah Abang Johari desentralisasi yang dilaksanakan akan memperkasakan agensi pembangunan untuk melaksanakan projek berdasarkan keperluan dan kehendak akar umbi.

Dalam soal ini Abang Johari berharap agar Putrajaya turut memperkasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri.

“Sebagai contoh kerajaan negeri dibenarkan melaksanakan projek seperti membina sekolah tempatan atau membaiki klinik daif,” jelas beliau. – TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan