Search
Close this search box.
Chef de Mission Sarawak ke SUKMA 2024 Dato Gerald Rentap Jabu mengharapkan sokongan padu rakyat Bumi Kenyalang bagi mewujudkan suasana yang mampu memacu pemburuan pingat emas kontinjen yang diberi julukan Team Rentap itu. Foto fail TVS

SUKMA 2024: Sokongan padu rakyat Sarawak mampu pacu misi pingat emas Team Rentap

ByBernama

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Chef de Mission Sarawak ke SUKMA 2024 Dato Gerald Rentap Jabu mengharapkan sokongan padu rakyat Bumi Kenyalang bagi mewujudkan suasana yang mampu memacu pemburuan pingat emas kontinjen yang diberi julukan Team Rentap itu.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu berkata sokongan padu seperti menyemarakkan venue pertandingan untuk melihat atlet berlatih serta bertanding akan memberikan suntikan inspirasi kepada atlet.

“Saya memohon sokongan padu semua orang Sarawak, sokong pasukan Sarawak dan semarakkan (venue). Datang beramai-ramai, melihat mereka (atlet) berlatih dan sebagainya dan kenal pasti atlet-atlet kita sebagai kawan…sebagai anak Sarawak.

“Ini akan memberikan inspirasi yang lebih banyak kepada mereka, memberikan semangat, memberikan kekuatan dan memberikan satu persekitaran yang dapat menyumbang emas kepada pasukan Sarawak,” katanya dalam program Inspirasi Duniamu terbitan TVS (TV Sarawak), malam semalam.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata Sarawak menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya separuh daripada keseluruhan 488 pingat emas yang dipertandingkan bagi bergelar juara keseluruhan.

Beliau berkata selain kem latihan berpusat bagi mengukuhkan ikatan perpaduan dalam kalangan atlet yang dijadual bermula pertengahan bulan ini, tumpuan juga terarah kepada usaha memastikan atlet sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kita ada juga menjalankan persiapan yang lebih dari segi fizikal, mental dan kesihatan atlet kita kerana sekarang cuaca tak menentu, kita inginkan atlet kita peak pada masa SUKMA dan sentiasa sihat dan terhidrat untuk menempuh cuaca panas dan sebagainya,” katanya.

SUKMA Sarawak 2024 yang mempertandingkan keseluruhan 37 sukan melibatkan 488 acara lelaki dan wanita dijadual berlangsung di sembilan bahagian iaitu ibu negeri Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri dari 17 hingga 24 Ogos.

Ini kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar negara itu selepas edisi 1990 dan 2016.

Pada edisi lepas di Kuala Lumpur, juara tiga kali itu menduduki tempat keempat daripada keseluruhan 15 kontinjen dengan kutipan 32 pingat emas, 43 perak dan 52 gangsa.

Tahun ini memasuki tiga dekad sejak kali terakhir Sarawak muncul juara keseluruhan SUKMA pada edisi 1994 di Perak yang merupakan kejayaan hatrik susulan berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada dua edisi sebelum itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan