Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari tun Openg hadir pada Majlis Pengumuman Dividen Interim ASSAR Bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2024 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange di sini, hari ini.Foto Fiqri Razak, TVS.

Agihan dividen akhir ASSAR 3.5 sen seunit – Abang Johari

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 5 Julai: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pengagihan dividen akhir/tambahan Amanah Saham Sarawak (ASSAR) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun sebanyak 3.5 sen seunit.

Premier Sarawak itu berkata, agihan kali kedua ini akan melibatkan pengagihan sebanyak RM16.39 juta kepada 57,542 pelabur yang dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 30 Jun 2024.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pulangan dividen ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 sebanyak 6.0 sen seunit, iaitu dividen interim 2.5 sen seunit ditambah dengan dividen akhir sebanyak 3.5 sen seunit, dengan jumlah agihan keseluruhannya RM28.1 juta berbanding pendapatan bersih RM36.16 juta.

“Lebihan pendapatan sebanyak RM8.06 juta akan disimpan sebagai rizab untuk tahun kewangan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Dividen Akhir ASSAR Bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2024 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR, Dato Sri Wahab Dolah.

Sementara itu tambah Abang Johari, ASSAR telah berjaya memberikan hasil dividen yang kompetitif berikutan prestasi pasaran modal yang memuaskan bagi tahun kewangan 2024 dengan portfolio ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi tabung.

“Sejajar dengan perkembangan positif ekonomi dan iklim pelaburan yang lebih baik, Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR telah meningkat secara konsisten kepada RM1.1262 pada 30 Jun 2024, iaitu pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus berbanding RM1.0594 pada Tahun Kewangan sebelumnya.

“Jumlah pendapatan kasar yang direalisasikan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 ialah RM40.84 juta di mana 46 peratus atau RM18.84 juta merupakan keuntungan daripada penjualan ekuiti / saham serta 38 peratus atau RM15.47 juta adalah pendapatan faedah daripada sekuriti berpendapatan tetap,” katanya.

Beliau menekankan bahawa ASSAR merupakan satu instrumen pelaburan atau simpanan yang selamat dan berisiko rendah dengan adanya mekanisme jaminan harga minima RM1.00 seunit, yang merupakan ciri utama ASSAR semenjak 1998.

Katanya, mekanisme jaminan harga minima tersebut akan terus memainkan peranan untuk mengurangkan sebarang impak kemelesetan ekonomi serta kejatuhan teruk pasaran saham terhadap modal para pelabur ASSAR.

“Ini adalah kerana dengan adanya ciri tersebut membolehkan unit ASSAR dijual balik pada harga minima RM1.00 seunit sepanjang tempoh jaminan, dalam apa jua keadaan ekonomi/pasaran saham, dan dengan demikian melindungi para pelabur ASSAR daripada mengalami kerugian besar ke atas modal mereka,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru para pelabur agar terus memberikan sokongan dan melabur di dalam ASSAR kerana sokongan berterusan ini penting bagi memastikan kelestarian ASSAR dalam jangka panjang dan membantu meningkatkan prestasinya dengan lebih baik. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan