Search
Close this search box.
Penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri dan Bertrand Rhodict Lises.

Dhabitah, Bertrand buat persiapan dengan papan anjal baharu di London sebelum ke Paris

ByBernama

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Membiasakan diri dengan papan anjal baharu digunakan pada Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi antara cabaran yang perlu dilalui oleh penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri pada temasya sukan tersebut bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Penerjun berusia 24 tahun itu yang akan menggalas tugas itu selepas Persekutuan Renang Malaysia (MAS) diberikan satu slot tambahan bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita oleh pihak Akuatik Dunia minggu lepas belum membiasakan diri dengan papan anjal baharu di Paris.

Beliau berkata skuad terjun negara masih berlatih menggunakan papan anjal jenis lama di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Berikutan itu, Nur Dhabitah bersama-sama penerjun lelaki negara Bertrand Rhodict Lises bakal menjalani latihan selama dua minggu bermula minggu depan di London untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan masa dan papan anjal.

“Sebelum ini pernah menggunakan papan anjal baharu ini di Kejohanan Dunia di Doha, Qatar (pada Februari) dan di Australia. Namun akan ambil masa untuk menyesuaikan diri untuk memperoleh momentum pada hari pertandingan.

“Teknik papan anjal baharu ini berlainan dengan yang lama….jadi latihan di London merupakan peluang terbaik untuk kita menyesuaikan diri dan bersiap sedia hadapi Olimpik,” katanya kepada pemberita di majlis penajaan Skechers sebagai kasut rasmi kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib.

Sementara itu, Nur Dhabitah mengakui akan merindui ketiadaan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong, yang tidak layak pada kali ini setelah berada dalam skuad sama pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Pada masa sama, beliau berkata ketiadaan Pandelela dan atlet senior lain pada Olimpik kali ini turut memberikan tekanan buat beliau untuk mengalas harapan utama negara di kolam terjun.

“Mengenai sasaran, saya tidak mahu fikir terlalu jauh tetapi mahu fokus untuk pusingan awal dulu untuk mara ke separuh akhir dan kemudian memberi yang terbaik dalam setiap terjunan,”katanya.

Di Rio, Nur Dhabitah beraksi dalam acara 10m platform individu yang turut disertai oleh Pandelela dan acara 3m papan anjal seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong manakala di Tokyo beliau meraih tempat keempat bagi acara 3m papan anjal individu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan